PPM TAHAN DUA LELAKI TERBABIT KEGIATAN BOM IKAN


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

KUDAT: Pasukan Polis Marin (PPM) daerah ini berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam aktiviti bom ikan di perairan Pitas, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.50 pagi, kedua-dua lelaki berusia 55 dan 56 tahun itu ditahan sepasukan anggota dan pegawai PPM Kudat dalam operasi Op Gelora Khas.

Pegawai Pemerintah PPM Kudat, Asisten Superintendan Rizauddin Selamat berkata, dalam operasi itu, botronda PPM Kudat yang sedang melakukan pemantauan di kawasan laut Tanjung Berungus, di sini, terserempak dengan sebuah bot yang mencurigakan.

Katanya, sebaik cuba dihampiri, bot berkenaan terus melarikan diri ke kawasan cetek sebaik menyedari kegiatan mereka dihidu pasukan PPM.

“Walaubagaimanapun, cubaan dua lelaki terbabit gagal apabila mereka berjaya ditahan bot PPM.

“Hasil pemeriksaan di dalam bot berkenaan membawa kepada penemuan peralatan yang dipercayai digunakan untuk mengebom ikan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Rizauddin berkata, semua barangan yang berjaya dirampas termasuk bot dianggarkan berjumlah RM13,850.

Katanya, rampasan kemudiannya dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” tegasnya.

Tamat