UPKO Akan Membincangkan Pembahagian Kawasan Dengan Warisan dan Pakatan Harapan Sabah.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

KOTA KINABALU: Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan berbincang dengan Parti Warisan Sabah dan Pakatan Harapan Sabah untuk menentukan pembahagian kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Presidennya Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat majlis presiden dalam masa terdekat.

Katanya, UPKO akan merancang strategi terbaik untuk parti dan yakin akan dapat memenangi semula mandat yang diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Dalam PRU sebelum ini, sesetengah calon bukan pilihan kami disebabkan ada pemimpin parti lain yang masuk campur dalam pemilihan calon bertanding.

“Kali ini, kami lebih berpeluang untuk memilih calon pilihan kami dan bertanding menggunakan logo kami sendiri,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu selepas tiba dari Kuala Lumpur, petang tadi.

Madius berkata, beliau menyambut baik dan mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal yang berjaya mendapatkan perakuan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin untuk membubarkan DUN bagi menyelesaikan ketidaktentuan dan kemelut politik Sabah.

Ketika ditanya sama beliau akan bertanding dalam PRN kali ini, Madius berkata, perkara itu akan dipertimbangkan sebaiknya.

Madius berkata, UPKO sentiasa bersedia untuk berdepan PRN kerana mereka secara berterusan turun padang bagi membantu dan menyelesaikan pelbagai masalah rakyat.

“Perkhidmatan kami adalah sebahagian daripada persiapan untuk PRN akan datang. Kami akan bekerjasama dengan rakan di Warisan, DAP dan PKR.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai tindakan Datuk Abidin Madingkir yang memilih untuk menyokong bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman, Madius hanya mahu mengucapkan selamat berjaya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan itu.

Tamat