31 Individu Dikenakan Kompaun

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Seramai 31 individu termasuk tiga pemilik premis dikenakan kompaun selepas didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) kerana gagal menjaga penjarakkan sosial, hari ini.

Dalam operasi bermula jam 12.05 tengah malam itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menjalankan tugas Pemantauan OP Covid 19, disekitar daerah Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, hasil pemantauan, tiga serbuan dilakukan di tiga premis berasingan sekitar pusat bandar.

Katanya, tiga pemilik premis di kompaun kerana melanggar SOP bersama 28 pelanggan membabitkan 18 lelaki dan 10 wanita.

“Semua yang dikompaun berusia lingkungan 21 hingga 50 tahun kerana didapati melakukan kesalahan tidak mengamalkan penjarakan sosial yang sepatutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Habibi berkata, semua boleh dikompaun mengikut Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.7) (No. 2) 2020.

“Semua Orang Kena Kompaun (OKK) dibawa balik ke IPD Kota Kinabalu untuk tindakan proses pengeluaran kompaun.

“Sebanyak 31 Kompaun dikeluarkan dan satu Kertas Siasatan turut dibuka mengikut Seksyen 3 Public Entertainment Ordinance Sabah,” katanya.

Sehubungan itu, Habibi mengingatkan kerjasama seluruh masyarakat amat penting dalam penambahbaikan pengurusan keselamatan yang juga merupakan faktor utama dalam mengelakkan ledakan Covid-19 dalam skala yang lebih besar.

Katanya, IPD Kota Kinabalu akan memantau secara berterusan dan melakukan pemeriksaan dari semasa ke semasa.

“Tindakan tegas ini selaras dengan pendekatan kerajaan untuk memastikan SOP dikuatkuasakan,” tegasnya.

Tamat