Masalah air di Mengkabong Tuaran akan diselesaikan

TUARAN: Masalah Air di Mengkabong Tuaran dijangka akan selesai sekiranya pengurusan 21 tangki air diserahkan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) kepada Jabatan Air Sabah.

Perkara itu dinyatakan oleh Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau ketika mengadakan tinjauan aduan permasalahan yang dihadapi penduduk Mengkabong di sini kelmarin.

Madius berkata, beliau terkejut apabila dimaklumkan tangki itu tidak pernah digunakan sejak pembinaan penempatan semula penduduk Mengkabong pada kira-kira hampir 10 tahun yang lalu.

“Untuk makluman, saya sebelum ini tidak dapat memasuki perkampungan ini secara langsung atas kekangan-kekangan politik oleh pihak tertentu.

“Namun sekarang saya boleh bersua mereka dengan penduduk di sini, dan inilah yang mereka ceritakan. Ada beberapa isu yang dikemukakan termasuk tangki air yang megah hanya menjadi boneka,” katanya.

Madius berkata, beliau akan berusaha menyelesaikan perkara ini secepat mungkin dengan meminta Majlis Daerah Tuaran dan Pejabat Daerah Tuaran mempercepatkan proses penyerahan urus tadbir tangki daripada FELCRA kepada Jabatan Air.

“Kesian rakyat. Ramai antara mereka yang hanya mendapat bekalan air pada waktu tengah malam.

“Bekalan air paip sekarang tidak mampu menampung keperluan kira-kira 3,800 penduduk. Yang ada sedikit kemampuan, mereka telah membeli pam air (waterpump) kerana sudah tidak tahan.

“Namun sekiranya tangki ini boleh digunakan, saya yakin masalah ini dapat diselesaikan,” katanya.

Untuk rekod, tahun ini sahaja Madius berjaya menyelesaikan masalah air di PPR Taman Sri Rugading dan Kampung Penimbawan serta beberapa kawasan mendesak di Parlimen Tuaran.

Beliau juga sedang dalam proses menyelesaikan isu yang sama di Kampung Baru-baru Tuaran dan Kampung Tiang Tolus Kota Belud.

Tamat