PAS SABAH SEDIA BERTANDING DI KERUSI BERPOTENSI.

Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri Sabah sudah mengenal pasti kerusi-kerusi yang berpotensi untuk ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.

Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling berkata, PAS Sabah sudah memuktamadkan beberapa kerusi pilihan dan selebihnya diserahkan kepada PAS Pusat untuk berunding dengan rakan-rakan politik lain.

Katanya, sebagai gambaran awal, PAS sentiasa menonjolkan calon-calon yang penuh karisma dan berintegriti serta pasti mampu menjalankan amanah kepimpinan secara adil dan saksama.

“PAS Sabah mengambil pendekatan mesra dengan semua rakan politik khususnya di Sabah dan perkara yang paling utama adalah mendapat kemenangan dalam PRN yang akan datang.

“Kami akan terus buktikan semangat setia kawan seperti yang telah dibuktikan dalam pilihan raya Parlimen Kimanis sehingga berjaya mencapai kemenangan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Aminuddin berkata, PAS Sabah penuh yakin seandainya semangat setia kawan ini diteruskan pasti akan membuahkan kemangan yang sangat manis.

Tamat