Empat Jam Tempoh Selesai Kes Pecah Masuk.


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Empat jam. Itu tempoh diperlukan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menumpaskan dua penjenayah yang memecah masuk sebuah bilik sewa di Likas, di sini, semalam.

Kedua-dua suspek berusia 27 dan 28 tahun yang melarikan pelbagai barangan bernilai anggaran RM4,200 itu berjaya ditahan di sebuah hotel bajet di Kampung Air selepas siasatan berjaya mengenalpasti lokasi mereka.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, polis menerima  laporan kejadian berkenaan pada jam 7.28 pagi daripada mangsa.

Katanya, hasil siasatan menerusi kamera litar tertutup berjaya mengesan kelibat dua-dua suspek memasuki bilik sewa mangsa.

“Kedua-dua suspek dilihat memasuki bilik sewa mangsa sebelum melarikan telefon bimbit, wang tunai dan dokumen penting.

“Berdasarkan rakaman litar tertutup berkenaan, pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu membuat penelitian dan membawa kepada penahanan suspek dalam tempoh kurang 4 jam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Habibi berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing juga mendapati salah seorang positif menggunakan dadah terlarang jenis metafetamin.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan / Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Tamat