Wanita Melecur Terselamat Dari Rumah Terbakar.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Penampang: Seorang wanita terselamat selepas berjaya keluar daripada rumahnya yang terbakar dalam kejadian kebakaran di Kampung Gunsing, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, wanita berusia 60 tahun itu bagaimanapun hanya mengalami kecederaan melecur di tangan akibat terkena bahang api ketika cuba menyelamatkan diri.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 3.57 petang.

Katanya, sepasukan 11 anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II Halim Majid, dikerah ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera, sebuah tanker dan sebuah van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS).

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kebakaran didapati membabitkan sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan 140 meter persegi.

“Terdapat seorang wanita cedera ringan melecur di bahagian tangan dan mangsa diberikan rawatan oleh pasukan EMRS,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba berjaya mengawal api kebakaran pada jam 4.10 petang sebelum operasi tamat sepenuhnya pasa jam 5.28 petang selepas dipastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

Katanya, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini dan siasatan masih dijalankan berhubung punca dan jumlah kerugian dalam insiden kebakaran itu.

Tamat