Tawar Diri Bertanding Untuk Membantu Rakyat.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Tawar diri sebagai calon bebas untuk membantu rakyat. Itu harapan Chew Shung Seng, 45, yang menyatakan hasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kepayan.

Menurut Shung Seng, wakil rakyat masa kini sepatutnya menumpukan perhatian untuk membangunkan kawasan masing-masing selain membantu menyelesaikan masalah rakyat.

Sebaliknya katanya, apa yang mengecewakan ketika ini, kebanyakan ahli politik lebih berminat untuk bergaduh sesama sendiri atas perjuangan yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.

“Perkembangan politik di negara kita tidak sihat ketika ini. Setiap wakil rakyat terikat dengan perjuangan parti masing-masing sehingga menyukarkan mereka membuat keputusan yang memberi keuntungan kepada rakyat.

“Sebab itu, ia membuatkan saya mahu keluar bertanding dan membantu rakyat. Apa yang diperlukan ketika ini adalah kemudahan awam seperti hospital, jalan raya yang sempurna dan pusat perniagaan termasuk pasar untuk memudahkan rakyat mencari rezeki,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Shung Seng berkata, beberapa kawasan juga mengalami masalah banjir dan memerlukan tindakan cepat dan efektif bagi memudahkan rakyat setempat.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Komuniti Beverly Hills Fasa 2 mengakui, beliau bukan pemimpin sempurna namun akan melakukan yang terbaik sekiranya diberi peluang menjadi pemimpin baharu.

Katanya, sebagai pilihan ‘kuasa ketiga’ dalam PRN akan datang, beliau akan cuba membawa pendekatan kaedah pentadbiran baru untuk rakyat.

“Apabila terpilih sebagai wakil rakyat, saya akan buktikan dengan melakukan pembangunan yang terbaik untuk rakyat. Lima tahun sahaja, sekiranya gagal tidak perlu lagi pilih saya.

“Sepanjang dilantik menjadi pengerusi Persatuan Komuniti Beverly Hills Fasa 2, saya berjaya menyelesaikan masalah air di kawasan ini.

“Begitu juga dengan keadaan kewangan persatuan yang sebelum itu berhutang, kini mempunyai simpanan yang cukup membanggakan,” katanya.

Tamat