RM2.6 Juta Nilai Rokok Seludup Dirampas.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

KOTA KINABALU: Kecekapan pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok bernilai RM2.6 juta di perairan Pulau Usukan, Kota Belud, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, semua rokok pelbagai jenama berkenaan dipercayai cuba diseludup masuk ke negara ini menggunakan sebuah bot kargo.

Ketika ditahan, bot kargo berkenaan didapati membawa muatan sebanyak 650,000 kotak kecil rokok putih dipercayai dari vietnam untuk dihantar ke Miri, Sarawak dan Balik Papan, Indonesia.

Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Mohd Rosli Abdullah berkata, sebelum tangkapan dilakukan, pusat operasi Maritim Sabah dan Labuan menerima maklumat terdapat sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

Katanya, sebaik menerima maklumat, pihak APMM terus bergegas ke lokasi perairan berkenaan untuk pemeriksaan segera.

“Bot kargo berkenaan ditahan di kedudukan 24 batu nautika barat laut Pulau Usukan dan hasil pemeriksaan mendapati bot dikendalikan seorang tekong bersama empat kru warga India serta dua kru warga tempatan berusia lingkungan 24 hingga 50 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan membawa muatan rokok putih dianggarkan sebanyak 650,000 kotak kecil dari Vietnam yang dianggarkan bernilai kira-kira RM 2.6 juta,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Rosli berkata, siasatan awal mendapati rokok berkenaan cuba dihantar ke dua lokasi berasingan namun dalam masa sama didapati pelayaran bot itu juga meragukan.

“Rokok itu dihantar ke Miri, Sarawak dan Balik Papan, Indonesia berdasarkan dokumen mereka.

“Namun pada masa sama, pemeriksaan lanjut terhadap dokumen pelayaran bot didapati meragukan dan tiada rekod senarai kru serta pelepasan pelabuhan juga sudah tamat tempoh,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Rosli berkata, semua individu terbabit disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta

Kastam 1967.

“Jika didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda amaun duti kastam atau RM5,000 yang mana

satu amaun yang lebih dan tidak lebih daripda 20 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000 yang mana satu amaun yang lebih besar atau dipenjarakan selama tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rosli berkata, bot dan kru diiring balik ke Jeti Maritim Sepanggar untuk siasatan lanjut.

Namun katanya, semua individu yang ditahan juga diarahkan menjalani ujian saringan Covid-19 yang dijalankan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Selain itu, pegawai dan anggota maritim yang terlibat dalam operasi itu juga akan menjalani ujian sama seperti arahan yang ditetapkan KKM,” katanya.

Tamat