Dua Remaja Terbabit 12 Kes Pecah Rumah Ditahan.


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Tuaran: Dua penjenayah remaja yang dikenalpasti terbabit dalam 12 kes pecah rumah di Taman Rugading dan Taman Telipok Ria, di sini, berjaya ditahan polis, semalam.

Kes terbaru dilaporkan pada 4 Mei lalu apabila seorang mangsa melaporkan rumahnya di Taman Telipok Ria, dipecah masuk.

Hasil siasatan yang dijalankan, polis akhirnya berjaya mengesan pelakunya yang dikenalpasti sebagai kedua-dua remaja terbabit.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, kedua-dua remaja berusia 15 dan 16 tahun itu ditahan di rumah mereka di Jalan Telipok Lama, Tuaran dan mereka mengaku aktif melakukan jenayah itu sejak Jun 2019.

Katanya, ketika ditahan, polis turut berjaya merampas pelbagai jenis barangan dipercayai dicuri oleh kedua-dua suspek.

“Antara barangan curi yang dirampas adalah tiga televisyen, satu tong gas, kipas angin, telefon bimbit dan dua utas jam tangan.

“Siasatan mendapati kedua-dua remaja dipercayai terbabit sekurang-kurangnya 12 kes pecah rumah,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, salah seorang daripada suspek didapati positif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat.

Sementara itu, Mohd Hamizi berkata, sejak Januari hingga Julai lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran membuka sebanyak 41 kertas siasatan membabitkan kes pecah rumah.

Katanya, dengan tertangkapnya kedua-dua suspek, polis percaya berjaya menyelesaikan 12 kes pecah rumah sebelum ini.

Tamat