Lima Ditahan Terbabit Aktiviti Perjudian Atas Talian.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Penampang: Seorang pengusaha kolam udang, isteri dan tiga kenalannya ditahan selepas disyaki terbabit sindiket perjudian atas talian dalam dua serbuan berasingan kondominium dan apartment di Beverly Hill, di sini, semalam.

Serbuan kira-kira jam 6 petang itu dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, selepas menerima maklumat berkaitan kegiatan perjudian itu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menahan lima individu termasuk suami isteri berusia 24 hingga 37 tahun.

Katanya, siasatan mendapati sindiket ini menyediakan pusat operasi perjudian dalam talian ‘calling centre’, dengan memilih kondominium untuk elak dikesan pihak berkuasa.

“Hasil risikan dan pemantauan selama tempoh hampir dua minggu, kita berjaya mengesan dan menyerbu pusat operasi sindiket terbabit dan menahan lima individu termasuk pasangan suami isteri.

“Ketika serbuan itu, ahli sindiket terbabit sedang mengatur perjudian dalam talian bernilai RM3,815.

“Polis turut merampas beberapa set komputer, komputer riba, 13 telefon bimbit dan perkakasan yang digunakan untuk operasi perjudian calling centre,” katanya dalam sidang media IPD Penampang, hari ini.

Mohd Haris berkata, sindiket ini dipercayai membuat keuntungan purata harian sebanyak RM5,000 dan purata bulanan mencecah RM150,000 serta dipercayai sudah beroperasi selama lima bulan dengan purata keuntungan RM750,000.

“Sindiket ini diketuai oleh seorang lelaki yang bekerja sebagai pengusaha kolam udang dan empat yang lain sebagai pekerja dengan kadar gaji RM1,200 sebulan

“Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Sehubungan itu, Mohd Haris menasihati orang ramai supaya tidak terbabit dengan kegiatan perjudian kerana tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil sama ada penganjur mahupun pelanggan.

“Kerjasama masyarakat khususnya di daerah ini diharap berterusan bagi membantu polis membanteras kegiatan jenayah termasuk perjudian haram di dalam talian,” katanya.

tamat