Remaja 13 Tahun, Orang Tengah Penjualan Syabu.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang berperanan sebagai ‘orang tengah’ untuk aktiviti penjualan syabu berjaya ditahan di Kampung Delima, di sini, semalam.

Ketika ditahan, pemeriksaan mendapati remaja terbabit memiliki enam paket syabu seberat 5.74 gram yang dianggarkan bernilai RM574 berdasarkan harga pasaran semasa.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, tangkapan berjaya dilakukan hasil maklumat dan risikan yang diperolehi polis.

Katanya, ketika ditahan, suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri namun tindakan pantas polis berjaya menahan remaja terbabit.

“Hasil siasatan awal mendapati, suspek mengaku menerima upah hasil daripada penjualan syabu berkenaan di sekitar kampung berkenaan.

“Siasatan turut mendapati, suspek bukan warganegara dan dikehendaki kerana pernah melarikan diri dari Pusat Tahanan Sementara (PTS) Manggatal pada 12 April lalu,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Habibi berkata, suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 5 tahun.

Selain itu katanya, pesalah turut boleh dikenakan  hukuman tidak kurang tiga sebatan dan tidak lebih sembilan sebatan.

Sementara itu, Habibi berkata, kejayaan tangkapan itu akan diteruskan bagi mengenalpasti dan mengambil tindakan terhadap ahli sindiket pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

Katanya, usaha membanteras kegiatan dadah ini akan diperhebatkan dan dipertingkatkan bagi menjaga kesejahteraan dan ketenteraman awam di daerah ini.

“Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan bagi membantu polis membanteras jenayah ini dengan lebih berkesan,” katanya.

Tamat