103 Individu Ditahan Dalam Operasi Khas IPD KK.

Fardy Bungga
fardy@hotmail.com

Kota Kinabalu: Seramai 103 individu berjaya ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi khas selama seminggu di kawasan Sinsuran, di sini, yang berakhir hari ini.

Semua individu itu ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Akta Rumah Judi Terbuka, Akta Dadah Berbahaya dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PTI).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang ramai berhubung aktiviti tidak sihat di kawasan berkenaan.

Katanya, sepanjang oeprasi yang dijalankan, seramai 15 individu dikenakan kompaun kerana melanggar SOP PKPP manakala 13 lagi individu ditahan kerana didapati terbabit dalam kesalahan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Selain itu, seramai 46 lagi individu ditahan selepas didapati terbabit melakukan kesalahan Akta Dadah Berbahaya 1952 membabitkan 37 lelaki dan sembilan wanita.

“Daripada jumlah itu, 18 adalah rakyat tempatan manakala 28 lagi adalah warga asing membabitkan kesalahan mengedar, memiliki dadah dan positif ujian saringan air kencing,” katanya pada sidang media, di Sinsuran, hari ini.

Habibi berkata, bagi operasi hari ini pula, polis berjaya menahan seramai 29 lagi individu membabitkan 22 lelaki dan tujuh wanita.

Katanya, tujuh yang ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah, empat atas kesalahan melanggar SOP PKPP, dua memiliki syabu dan 16 lagi positif ujian saringan air kencing.

“Polis turut berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 19.09 gram yang dianggarkan bernilai RM1,900 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Semua yang ditahan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk proses dokumentasi dan tindakan selanjutnya,” katanya.

Sehubungan itu, Habibi mengalu-alukan masyarakat supaya membantu dengan menyalurkan maklumat berhubung aktiviti jenayah yang berlaku di daerah ini untuk tindakan segera.

Katanya, polis akan terus menjalankan aktiviti pemantauan dan pencegahan jenayah dari semasa ke semasa bagi memastikan daerah ini sentiasa aman dan sejahtera.

tamat