Lima Pelajar Bergaduh Ditahan.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

RANAU: Lima pelajar termasuk seorang pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di sini, yang dirakam bergaduh sehingga viral di media sosial ditahan polis, semalam.

Semua pelajar tingkatan empat itu ditahan jam 10.40 malam tadi selepas satu laporan polis dibuat oleh seorang pelajar lelaki.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Sammy Newton berkata, berdasarkan laporan yang diterima, polis terus menjalankan siasatan dan menahan semua pelajar terbabit termasuk pelajar perempuan yang dipercayai merakam kejadian berkenaan.

Katanya, semua pelajar itu ditahan bagi membantu siasatan lanjut berhubung punca pergaduhan berkenaan dan mereka yang terbabit.

“Saya sudah melihat video pergaduhan itu di media sosial membabitkan sekumpulan pelajar yang terlibat pergaduhan.

“Polis akan menjalankan siasatan terhadap pelajar yang terlibat dan dalam masa sama kita nasihatkan masyarakat supaya memadamkan serta menghentikan penyebaran video berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sammy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa dihukum penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau  kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam rakaman video berdurasi 15 saat yang tular di laman sosial facebook itu memaparkan seorang pelajar lelaki dibelasah beberapa pelajar lain di tempat awam.

Video itu dikatakan dirakam pelajar perempuan yang dipercayai turut terbabit dalam insiden berkenaan.

Tamat