APMM tahan bot nelayan Vietnam.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan bot nelayan bersama 25 kru warga Vietnam dan merampas kira-kira empat tan pelbagai jenis ikan dalam Operasi Naga Timur dan Operasi Sejahtera, semalam.

Bot nelayan Vietnam itu ditahan bot peronda maritim pada kedudukan  29 batu nautika barat laut Pulau Mantanani, jam 4.45 petang.

Pengarah APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Mohd Rosli Abdullah berkata, bot peronda maritim yang sedang menjalankan operasi di perairan Kota Kinabalu, melakukan tinjauan di perairan Pulau Mantanani kerana terdapat bot nelayan asing sedang melakukan aktiviti menangkap ikan secara tunda ganding.

Katanya, sebaik tiba di lokasi itu, menahan sebuah bot nelayan asing disyaki Vietnam untuk tujuan pemeriksaan.

“Didapati 25 awak-awak termasuk tekong warga Vietnam berusia 18 hingga 50 tahun tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

“Selain itu bot berkenaan juga tidak mempunyai sebarang dokumen atau apa-apa kebenaran daripada Pengarah Perikanan Malaysia bagi menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

“Pemeriksaan seterusnya bot itu membawa hasil tangkapan dianggarkan sebanyak empat tan ikan pelbagai jenis,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, bot dan awak-awak ditahan dan dibawa ke Jeti APMM di Sepanggar untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

“Ujian saringan Covid-19 juga dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia ke atas anggota bot peronda maritim dan semua kru bot nelayan Vietnam.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, daripada Januari hingga Julai 2020, sebanyak lima kes pencerobohan bot nelayan asing direkodkan oleh APMM.

“Maklumat pencerobohan bot nelayan asing ini adalah hasil daripada pengesahan radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) yang dipasang di beberapa pulau di sekitar perairan Sabah.

“Usaha APMM mengekang pencerobohan bot nelayan asing ini juga adalah bertujuan menjaga kemewahan hasil laut negara khususnya di perairan negeri ini daripada di kaut oleh nelayan asing,” katanya.

tamat