IPD Kota Kinabalu tingkatkan rondaan keselamatan.


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu akan meningkatkan kehadiran anggota polis khususnya di sekitar pusat beli belah di bandar raya ini untuk menjamin keselamatan serta ketenteraman awam,

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, anggota polis sentiasa digerakkan ke lokasi tumpuan seperti pusat beli belah Centre Point dan sekitar kawasan berkenaan.

“Walaupun pusat beli belah itu mempunyai pengawal keselamatan sendiri, tetapi kita menempatkan dua anggota di dalam bangunan manakala dua lagi di luar bangunan supaya pengunjung berasa selamat.

“Langkah ini juga bertujuan memastikan orang ramai serta pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya.


Beliau berkata demikian dalam Program Komuniti Policing dan merasmikan Kedai Emas Sofia di Centre Point, di sini, hari ini.

Kedai Emas Sofia di Kota Kinabalu adalah cawangan keempat yang diusahakan oleh usahawan tempatan.

Mengulas lanjut, Habibi berkata, rondaan akan dijalankan seawal pembukaan pusat beli belah itu pada jam 10 pagi sehingga masa penutupan pada jam 10 malam setiap hari.

“Setakat ini, kita tidak mencatatkan kejadian jenayah serius di dalam pusat beli belah ini dan hanya kes terpencil yang dilakukan oleh remaja nakal seperti melarikan alat penyukat suhu badan yang diletakkan di luar premis.

“Namun polis akan teruskan kolaborasi dengan pusat beli belah ini bagi memelihara dan menjamin keselamatan semua pengunjung,” katanya.

tamat