Serah Kepada Pucuk Pimpinan.

Mohd Daud Tompokong (tengah) pada sesi ramah mesra bersama ahli dan jawatankuasa Bahagian PPBM Semporna

SEMPORNA: Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia P189, Mohd Daud Tampokong menyerahkan kepada pucuk pimpinan PPBM untuk menentukan sama ada beliau akan menjadi calon pilihan raya negeri (PRN) kerusi Dewan Undangan Negeri DUN Bugaya.

Mohd Daud berkata, tidak dinafikan ada suara-suara daripada akar umbi dan ahli jawatankuasa PPBM bahagian P189 yang memintanya menjadi calon.

Katanya, ramai pihak tampil memberi sokongan itu memandangkan beliau adalah penggerak awal parti itu di kawasan berkenaan.

“Pucuk pimpinan perlu melakukan pertimbangan sebaik mungkin dan mencadangkan kepada parti untuk memilih calon tempatan bertanding di kawasan berkenaan.

“Ini kerana calon dipilih juga haruslah mempunyai rekod kerja yang baik di kawasan masing-masing,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika dalam sesi suai kenal dan santai bersama jentera Daerah Mengundi (DM) Zon Kampung Simunul yang diketuai oleh Bashir Mohd Shah di sini kelmarin.

Turut hadir Setiausaha Bahagian PPBM P. 189, Adam Tahing, Bendahari Bahagian PPBM P.189, Rofaidah Ahmad.

Mohd Daud berkata, amat wajar calon tempatan dipilih kerana sekiranya calon luar, ia akan berdepan sedikit sukar kerana perlu memperkenalkan diri kepada rakyat tempatan di Dun N66 Bugaya.

“Ia sudah jadi satu kekurangan, tetapi kalau calon tempatan yang sudah dikenali, ia menjadi lebih mudah

“Begitu juga dengan rekod kerjanya di kawasan ini. Janganlah apabila tidak ada rekod, kemudiannya tiba-tiba dipilih dan bertanding.

“Maka susah sikit untuk kita yang berada di bawah. Perkiraan seperti itulah yang perlu diambil pucuk pimpinan,” katanya.

Tamat