SK Sungai Padas Terima Bantuan Big Heart

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Sandakan: Badan Bukan Kerajaan (NGO) Big Heart tampil menyampaikan bantuan kasih kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Padas, Sg Manila, di sini, semalam.

Bantuan berupa 500 pelitup muka dan 20 liter cecair pembasmi kuman itu diserahkan terus kepada Guru Besar, Junaidi Iting dan guru-guru kanan SK Sungai Padas.

Penaung NGO Big Heart, Dr Peter Jr Naintin berkata, badan NGO berkenaan adalah terdiri daripada para sukarelawan yang memberi fokus membantu masyarakat dalam aktiviti kebajikan, kebudayaan dan pendidikan terutamanya di kawasan Libaran.

Katanya, bantuan yang disumbangkan kali ini adalah usaha bersama untuk membantu pihak sekolah dan pelajar dalam menghadapi norma baharu semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Kita memahami keadaan pihak sekolah dan pelajar yang terpaksa belajar dalam norma kehidupan baharu sepanjang PKPP ini.

“Kita berharap, sumbangan kali ini dapat meringankan bebanan yang dihadapi pihak sekolah dan semoga semua pelajar dapat menumpukan sepenuh perhatian untuk kejayaan cemerlang dalam pelajaran masing-masing,”katanya ketika ditemui, semalam.

Peter berkata, dalam lawatan berkenaan, beliau turut sempat melawat bilik darjah dan memberikan kata-kata semangat kepada pelajar untuk terus belajar bersungguh-sungguh.

Katanya, pelajar juga digalakkan supaya terus bantu-membantu satu sama yang lain demi kemajuan masa depan bersama.

“Ini kerana pendidikan adalah asas dalam membentuk modal insan yang berjaya,” tegasnya.

Tamat