PEMILIHAN KEPIMPINAN ARMADA, SRIKANDI SABAH BUKTI KOMITMEN BERSATU ANGKAT SUARA RAKYAT

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)


KOTA KINABALU: Pemilihan kepimpinan sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Armada dan Srikandi memberi petanda serta komitmen jelas parti itu untuk bertapak, sekali gus mengangkat suara rakyat Sabah, kata Ketua Penerangannya Khairul Firdaus Akbar.

Beliau berkata pemilihan kepimpinan Armada dan Srikandi Bersatu, berlangsung di seluruh bahagian Sabah pada Sabtu dan Ahad lepas (15 dan 16 Ogos) turut menyaksikan kesemua calon bagi kedua-dua sayap parti itu, menang jawatan masing-masing.

Antara yang terpilih ialah, Timbalan Ketua Armada Bersatu Sabah Ceaser Mandela Malakun yang menang jawatan Naib Ketua Armada Nasional, manakala empat lagi sebagai Exco Armada Nasional iaitu Ketua Armada Bersatu Sepanggar Abqaree Fawwaz Abekan, Ketua Armada Bersatu Ranau Rosdi Ghani, Ketua Armada Bersatu Kinabatangan Johainizamshah Johari dan Ketua Penerangan Bersatu Libaran Henry Hamdan.

Sementara itu, bagi jawatan Exco Srikandi Nasional, ia dimenangi oleh Penolong Setiausaha Srikandi Bersatu Sabah Datuk Redonah Bahanda, Ketua Penerangan Srikandi Bersatu Sabah Mizma Apphedullah dan Ketua Srikandi Bersatu Kinabatangan Dayang Norhayati Titing.

“Bersatu Sabah ingin mengucapkan tahniah kepada semua. Kemenangan dalam pemilihan ini membuktikan keterbukaan pimpinan atasan dan ahli parti untuk menerima serta memberi mandat kepada bakat pemimpin muda dan wanita dari Sabah.

“Ini turut menggambarkan bahawa Bersatu boleh menjadi wadah dan pilihan utama rakyat Sabah untuk membawa isu-isu berkaitan. Suara rakyat Sabah akan lebih mudah dibawa dan didengari oleh pihak atasan pimpinan parti dan pemimpin utama kerajaan terutama kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Khairul Firdaus juga berharap rakyat Sabah memberi peluang kepada kepimpinan Bersatu Sabah, pimpinan Datuk Hajiji Noor untuk menerajui negeri ini ke arah kejayaan dan kecemerlangan pada masa depan.

— BERNAMA