Dua Wanita Edar Syabu Ditahan.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Dua wanita yang dipercayai menjadi dalang sindiket pengedaran syabu ditahan polis dalam serbuan di Pekan Inanam, semalam.

Kedua-dua wanita berusia 20 dan 29 tahun itu berjaya ditahan hasil risikan dan maklumat awam berhubung kegiatan pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketika ditahan, kedua-dua suspek dikesan memiliki 24 keratan straw berisi dadah jenis syabu.

Katanya, semua dadah berkenaan dikesan seberat 6.21 gram yang dianggarkan bernilai RM621 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Kedua-dua suspek disyaki menjadi dalang kepada sindiket pengedaran dadah di sekitar kawasan pekan Inanam.

“Modus operandi yang digunakan adalah kedua-dua suspek menjadi perantara sindiket untuk mendapat pelanggan atau pembeli,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Habibi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Alta Dadah Berbahaya yang memperuntukkam hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun.

Katanya, suspek turut berdepan hukuman sebat tidak kurang tiga sebatan dan tidak lebih sembilan sebatan jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, Habibi berkata, kejayaan tangkapan kali ini adalah berdasarkan maklumat risikan dan awam terhadap sarang-sarang penagihan bagi memastikan kegiatan dadah dapat dibendung sepenuhnya.

Katanya, tangkapan ini juga akan membantu polis mengenalpasti dan mengambil tindakan terhadap ahli sindiket pengedaran dadah yang wujud.

“Usaha ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha memastikan kesejahteraan dan ketenteramam di kawasan daerah Kota Kinalu sentiasa terjaga.

“Orang ramai dialu-alukan untuk membantu pihak PDRM dalam menyalurkan maklumat berkaitan untuk tindakan segera,” katanya.

Tamat