11 Hilang Tempat Tinggal


Sipitang: 11 sekeluarga di Kampung Palakat, di sini, terpaksa lari menyelamatkan diri selepas rumah didiami mereka tiba-tiba condong dan hampir roboh, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, beberapa ahli keluarga tersedar selepas terdengar bunyi bising yang kuat sebelum menyedari rumah mereka condong.

Difahamkan, keluarga terbabit terpaksa menumpang di rumah ketua kampung kerana bimbang rumah mereka akan roboh dan bertindak menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, Janil Jaya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu jam 8.33 pagi tadi sebelum sepasukan bomba bergerak ke lokasi kejadian.

Katanya, setibanya di tempat kejadian, mendapati rumah berkenaan hampir roboh lalu pasukan bomba membuat pengstabilan untuk mengeluarkan motorsikal dan barang peribadi penghuni rumah berkenaan.

“Pasukan bomba turut menyelamat anak-anak kucing yang terperangkap sehingga kerja-kerja penyelamatan selesai.

“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dan setakat ini rumah berkenaan diklasifikasikan sebagai tidak selamat untuk didiami,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi membabitkan tujuh anggota dan pegawai serta sebuah jentera LFRT.

Tamat