Pelajar Kolej Maut Kenderaan Dipandunya Merempuh Pacuan Empat Roda.


Ranau: Seorang pelajar kolej maut selepas merempuh pacuan empat roda di lorong bertentangan ketika memotong sebuah kenderaan dihadapannya dalam kejadian di Kilometer 50 Jalan Ranau-Telupid, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.50 petang itu, mangsa berusia 18 tahun yang memandu Perodua Kancil seorang diri dikatakan bergerak dari arah Telupid menuju ke Kota Kinabalu.

Bagaimanapun, sebaik melepas kenderaan dihadapannya, kenderaan mangsa hilang kawalan dan terus memasuki laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superintendan Sammy Newton berkata, siasatan mendapati mangsa merempuh Toyota Hilux yang tidak sempat untuk mengelak kenderaan mangsa.

Katanya, akibat daripada perlanggaran berkenaan, mangsa yang tersepit di dalam kenderaan mengalami kecederaan parah Di badan dan kepala.

“Ketika kemalangan, keadaan jalan ketika kering dan jalan sedikit berselekoh serta menuruni bukit. Pemandu Perodua Kancil disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Manakala pemandu pacuan empat roda hanya mengalami kecederaan ringan. Mangsa dikeluarkan oleh pihak bomba dan seterusnya dibawa ke Hospital Ranau untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sammy berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Sammy menasihati pengguna jalanraya supaya lebih berhati-hati ketika memandu terutamanya semasa menuruni bukit, selekoh dan memasuki simpang.

“Jika terasa letih dan mengantuk, pengguna jalanraya dinasihatkan untuk berhenti di kawasan yang terang dan ambil masa untuk berehat.

“Selain itu, pastikan kenderaan yang digunakan mencapai tahap penyelenggaraan yang baik dan sesuai digunakan untuk perjalanan jauh,”’katanya,

Tamat