Sabah Perlukan Bantuan Persekutuan? Itu Adalah Salah.- Jo-Anna Henley Rampas

TUARAN: Pemimpin Parti Warisan Sabah hari ini mengecam kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Seri Masidi Manjun kononnya Sabah perlu bantuan dari Persekutuan untuk memulihkan dan mengukuhkan kembali ekonomi negeri yang lembap kesan Covid-19.

Timbalan Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah, Jo-Anna Henley Rampas berkata, pandangan terpesong oleh Parti Bersatu Sabah itu adalah sebab mengapa Sabah tidak diberikan perhatian yang sewajarnya oleh Persekutuan.

“Masidi mengatakan bahawa Sabah memerlukan bantuan (pertolongan) dari Persekutuan – itu adalah salah.

“Sabah tidak memerlukan bantuan kerana negeri kita ini bukan seperti Perlis yang tidak punyai sumber asli yang banyak,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Jo-Anna berkata, apa yang mereka mahukan ialah Perikatan Nasional (PN) menghormati dan menunaikan tanggungjawab mereka terhadap hak dan keistimewaan Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan seperti hak 40 peratus ke atas cukai yang dikutip oleh Persekutuan.

“Presiden Umno Zahid Hamidi berjanji kepada kita semua ketika PRK Kimanis Januari lalu bahawa Umno akan melaksanakan MA63 tetapi apa sudah jadi dengan janji itu?

“Dan selama lebih dari 20 tahun, Sabah telahpun menyumbang kepada kemajuan Persekutuan ini melalui petroleum dan gas, minyak sawit dan ini dibuktikan apabila Sabah dinamakan sebagai penyumbang GDP ke-6 terbesar di negara ini untuk tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini,” katanya.

Jo-Anna berkata, perbelanjaan yang berhemah ialah kunci kepada kemampuan Ketua Menteri untuk melaksanakan pakej rangsangan ekonomi negeri kita ekoran Covid 19.

Katanya, ini membuktikan kepimpinan Sabah dapat mengatasi sendiri masalah ekonomi disebabkan oleh wabak ini.

“Masidi juga telah menyatakan bahawa kegiatan berpolitik akan berkurangan sekiranya Bersatu Sabah / BN menang, tetapi dia sepatutnya memberitahu Musa Aman supaya tidak merampas kuasa bulan Julai lalu ,” tambahnya.

Jo-Anna juga menegaskan bahawa rakyat Sabah harus tahu di mana halatuju Bersatu Sabah melalui apa yang telah dikatakan oleh Presiden, Ketua dan Timbalan Ketua Bersatu Sabah.

“Sekarang ianya jelas bahawa Bersatu tidak berniat untuk memberikan ‘kebebasan’ atau pemerkasaan kepada Sabah sebaliknya mahu menjadikan Sabah terus bergantung kepada Kerajaan Persekutuan.

“Dan orang-orang seperti Hajiji dan Masidi juga perlu membentuk pemimpin-pemimpin Sabah muda yang bermaruah dan berani untuk meneruskan perjuangan membela maruah dan hak-hak Sabah,” katanya.

Jo-Anna berkata, kita perlu ingat, dalam keterujaannya untuk membawa lebih banyak KDM untuk menyertai Umno, Masidi telah mengatakan pada tahun 2014 bahawa KDM adalah sebahagian daripada Rumpun Melayu dan ini telah membangkitkan kemarahan Timbalan Presiden USDA, Datuk Kalakau Untol pada masa itu.

Oleh itu katanya, inilah masanya bagi etnik KDM, Bajau dan Cina di Tuaran untuk bangun bersatu dan menentang Bersatu Sabah kerana agenda utamanya hanya untuk ‘memperbudakkan’ orang-orang Sabah seperti semasa era Umno dulu.

“Dan saya yakin daerah-daerah lain di Sabah akan mencontohi apa yang kita lakukan di sini dan bersatu untuk menolak PN juga,” katanya.

Tamat