Dua Juragan Seludup Minyak Petroleum Dan LPG Ditahan


Kudat: Dua juragan yang dikesan cuba menyeludup petrol dan tong gas cecair petroleum (LPG) menggunakan dua bot nelayan berjaya ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di jeti berhampiran Pelabuhan Kudat, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam ituc kedua-dua juragan warga tempatan berusia 29 dan 47 tahun ditahan anggota PPM Kudat ketika menjalankan Op Landai Khas.

Pegawai Pemerintah PPM Kudat, Asisten Superintendan Rizauddin Selamat berkata, hasil risikan dan pemantauan berjaya menahan dua bot nelayan yang masing-masing dijuragani dua lelaki dewasa.

“Hasil daripada pemeriksaan rapi dari kedua-dua bot nelayan itu, menemui sejumlah 14 tong LPG, 12 tong berisi petrol dan 30 tong kosong.

“Kedua-dua bot nelayan itu turut dirampas dan di bawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan hampir RM184,755.

“Dua bot nelayan berkenaan disyaki cuba menyeludup keluar barang-barang kawalan berkenaan ke negara jiran.

“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

tamat