PATUHI SOP SEPANJANG PRN- PESURUHJAYA POLIS SABAH

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali


KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah memberi amaran kepada calon parti, ahli parti dan orang awam supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang proses Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, PRN akan bermula esok dengan proses penamaan calon dan berlanjutan selama tempoh dua minggu berkempen sebelum hari pengundian pada 26 September depan.

Katanya, aktiviti berarak dan berkumpul oleh penyokong parti juga adalah tidak dibenarkan sama sekali di mana-mana lokasi sepanjang hari penamaan calon.

“PDRM ingin mengingatkan kepada semua calon dan ahli parti supaya sentiasa mematuhi arahan semasa, undang-undang dan SOP bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

“Dalam proses penamaan calon, SOP menetapkan hanya tiga orang dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon untuk proses penamaan calon,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Hazani berkata lagi, memandangkan pandemik Covid-19 terutama di Sabah sedang meningkat, maka polis juga ingin mengingatkan masyarakat negeri ini supaya mematuhi arahan semasa dari PDRM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Orang ramai perlu mengambil perhatian terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuatkuasa.

“Sehubungan itu, PDRM amat mengalakkan calon parti yang bertanding dalam PRN Sabah supaya menggunakan media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan lain-lain aplikasi untuk berkempen,” katanya.

Selain itu Hazani berkata, calon juga dikehendaki mengingatkan penyokong masing-masing supaya tidak melakukan vandalisme atau khianat kepad aposter dan bendera pihak lawan.

“Orang ramai diminta supaya tidak menyalahgunakan multimedia untuk menimbulkan isu sensitif seperti perkauman, agama dan berita palsu.

“Sebarang tindakan provokasi dan menjatuhkan reputasi lawan harus dielakkan kerana ia boleh menimbulkan kekacauan serta ketenteraman awam,” katanya.

TAMAT