Calon Dan Penyokong Patuh SOP

Kota Kinabalu: Proses penamaan calon di tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekitar daerah ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku, hari ini.

Dalam proses penamaan calon selama sejam bermula 9 pagi itu, semua calon bertanding dan penyokong parti yang hadir memberi sokongan didapati mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, penugasan kekuatan anggota seramai kira-kira 600 orang yang bermula seawal jam 6 pagi yang ditempatkan di tujuh kawasan DUN iaitu Karambunai, Darau, Inanam, Likas, Api-Api, Luyang dan Tanjung Aru.

Katanya, kekuatan anggota mencukupi untuk menjaga keselamatan dengan dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Sepanjang proses itu juga, tiada pelanggaran SOP daripada mana-mana pihak. Begitu juga penyokong yang berarak ke pusat penamaan Calon.

“Walaupun terdapat segelintir penyokong yang hadir di sekitar pusat penamaan calon, namun semua bergerak dalam keadaan mengikut SOP serta mengamalkan penjarakkan fizikal antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di Dewan Jabatan Kerja Raya, Sembulan, hari ini.

Habibi berkata, dengan berakhirnya tempoh penamaan calon ini akan bermula tempoh berkempen dan dinasihatkan semua pihak supaya terus mengikuti SOP ditetapkan.

“Sepanjang waktu berkempen, saya menasihatkan penyokong parti untuk tidak melanggar undang-undang serta SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kita mengharapkan tempoh berkempen akan berjalan aman tanpa sebarang salahlaku daripada mana-mana pihak termasuklah tidak menimbulkan isu sensitif dan provokasi sehinggalah tempoh undi awal pada 22 September dan hari mengundi pada 26 September yang akan dilaksanakan seramai 135,129 penduduk di daerah ini,” katanya.

Sementara itu, Habibi berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima mana-mana permohonan daripada wakil parti bagi tujuan mengadakan ceramah.