Empat Penyamun Geng Dok Sembulan Ditahan.

KOTA KINABALU: Empat penjenayah termasuk dua warga asing yang menyamun seorang wanita di jejantas Jalan Coastal, di sini, 3 September lalu, berjaya ditahan polis.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, mangsa yang bekerja sebagai kerani di sebuah hotel di kawasan berhampiran dihampiri dua lelaki tidak dikenali ketika dalam perjalanan balik dari tempat kerjanya.

Kedua-dua suspek kemudiannya terus mengugut mangsa dengan menggunakan senjata nunchaku selain melakukan kekerasan sehingga menyebabkan lebam di muka mangsa.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati, kejadian dilaporkan berlaku apabila mangsa ditahan oleh dua lelaki di jalan berkenaan.

Katanya, kedua-dua suspek itu melakukan kekerasan menggunakan sehingga menyebabkan lebam pada muka mangsa dan mengugut supaya menyerahkan barangan berharga.

“Mangsa yang ketakutan terus menyerahkan beg tangan miliknya kepada kedua-dua suspek dalam kejadian itu.

“Mangsa memberitahu beg tangan yang dibawanya mengandungi wang tunai dan beberapa barangan penting termasuk kad ATM serta telefon bimbit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

 

Habibi berkata, kedua-dua suspek kemudiannya dikatakan melarikan diri ke arah Sembulan sebelum menghilangkan diri.

Katanya, bertindak atas maklumat risikan, polis berjaya menangkap seorang daripada suspek pada jam 3 petang, 5 September lalu di Jalan Sang Kancil.

“Ketika ditahan, suspek warga tempatan didapati membawa senjata yang digunakan semasa kejadian dan telefon bimbit milik mangsa.

“Hasil kejayaan itu membawa kepada penangkapan tiga lagi rakan sejenayah suspek dalam beberapa siri serbuan di kawasan setinggan Sembulan antara jam 2 hingga 4 petang, 9 September lalu,” katanya.

Habibi berkata, semua suspek yang ditahan dikenali sebagai Geng Dok Sembulan dan semua suspek dipercayai berasal dari kawasan Sembulan dan bergiat aktif sejak dua bulan lalu.

“Kumpulan ini dipercayai giat menjalankan jenayah samun dan pecah rumah membabitkan keseluruhan kerugian mencecah RM20,000.

“Polis masih mengesan seorang lagi rakan suspek yang masih bebas dan dikenali sebagai Bimal, 20,.

“Semua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari dan polis percaya kejayaan tangkapan ini menyelesaikan 10 kes jenayah membabitkan samun dan pecah rumah,” katanya.

Tamat