Hishammuddin Cuba Timbulkan Fitnah

Kenyataan Media oleh Setiausaha Agung Parti Warisan Sabah Datuk Loretto Padua.

Datuk Loretto Padua

KOTA KINABALU: Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein juga kini mula menunjukkan wajah UMNO sebenarnya yang cuba menimbulkan fitnah terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Kenapa perlu merendahkan taraf anda sebagai pemimpin dengan cuba memutar-belit kenyataan Mohd. Shafie berhubung isu tuntutan Filipina yang disiarkan Berita Harian bertarikh 28 Ogos 2020.

Dalam laporan itu, jelas sekali Mohd. Shafie menggesa Kerajaan Persekutuan memberikan mesej kepada Kerajaan Filipina untuk memutlakkan pendirian bahawa sebarang tuntutan terhadap Sabah adalah tidak berasas sama sekali.

Laporan tersebut jelas menunjukkan pendirian Mohd. Shafie bahawa Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia, tiada sebarang tuntutan daripada Filipina perlu dilayan.

Rundingan antara kerajaan yang dimaksudkan itu ialah Kerajaan Malaysia perlu menyatakan secara tegas kepada Kerajaan Filipina supaya berhenti menuntut Sabah bukannya rundingan itu bermaksud Mohd. Shafie sokong tuntutan ke atas Filipina.

Perlu ditegaskan bahawa jika berlaku apa sahaja tuntutan daripada mana-mana negara sekalipun termasuk Filipina, yang bertanggungjawab ialah Kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra dengan Kerajaan Filipina (G2G) bukannya Pejabat Ketua Menteri Sabah dengan Kerajaan Filipina.

Justeru Mohd. Shafie mahu Kerajaan Persekutuan bersuara tegas kerana jika terus berdiam diri, Malaysia akan kelihatan seperti pengecut atau bersetuju dengan tuntutan Filipina.

Baru-baru ini di Dewan Rakyat sidang Parlimen di dalam Kamar Khas dibuat untuk membahaskan usul pemimpin Warisan menentang segala tuntutan Filipina ke atas Sabah.

Jadi apa yang cuba diputar-belitkan oleh Hishammuddin dalam status Facebook itu?

Barisan Nasional (BN) telah memerintah negara selama berpuluh tahun tetapi mereka tidak pernah berjaya menghalang Filipina daripada terus menuntut Sabah.

Sebab itulah Mohd. Shafie mahu satu kata putus, tamatkan segala tuntutan daripada Filipina, itu yang dimaksudkan oleh laporan berita tersebut.

Tetapi disebabkan mahu UMNO, parti Malaya dan pemimpin Malaya kembali memerintah Sabah agar dapat merampas kekayaan negeri, Hishammuddin kini tidak ubah seperti seorang cybertrooper bodoh yang cuba memutar-belit sesuatu laporan berita untuk mengelirukan penyokong totok mereka.

Hishammuddin menjadi cybertrooper bodoh yang memfitnah dan cuba memutar-belit tajuk sesuatu berita demi kepentingan politik.

Saya sarankan Hishammuddin agar baca dahulu laporan berita itu sampai habis sebelum memperbodohkan diri sendiri dengan status di Facebook.