Bandar Satelit Moyog dan MA63 Antara Perjuangan Calon PCS.

Penampang: Membangunkan bandar satelit, mengembalikan hak Sabah mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta menyelesaikan masalah pembangunan asas di Moyog.

Itu antara perjuangan dibawa Datuk William Sampil, calon Parti Cinta Sabah yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

William berkata, tanggungjawab sebagai pegawai daerah selama lapan tahun dan empat tahun sebagai Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) sebelum ini, cukup mendekatkan beliau dengan segala permasalahan yang wujud di kawasan ini.

Katanya, beliau sudah menyusuri lebih 62 kampung disekitar DUN Moyog dan mengetahui segala kekurangan dan pembangunan yang diperlukan.

“Saya dilahirkan dan membesar di sini. Berilah peluang kepada saya untuk berkhidmat kepada rakyat di DUN Moyog.

“PCS akan memperjuangkan MA63 untuk dikembalikan kepada Sabah. Kita tidak mahu lagi meminta-minta dari Malaya untuk pembangunan yang lebih pesat di negeri ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.

William berkata, Sabah mampu untuk memerintah rakyat sendiri dan membawa pembangunan khususnya di Moyog.

Katanya, PCS akan memastikan kehidupan anak-anak Sabah terjamin di masa akan datang selain membina peluang baharu kepada usahawan tempatan.

“Saya sedar terpaksa berdepan dengan lawan cukup hebat yang juga Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah dan juga Ahli Parlimen Penampang.

“Tetapi tiada yang mustahil dalam politik kerana sokongan dari akar umbi menjadikan ia mudah dan tidak mustahil,” katanya.

Tamat