Gagasan Calon Bebas Sabah.


Kota Kinabalu: Gagasan Calon Bebas Sabah (GCBS) merupakan satu pasukan yang saling melengkapi antara satu sama lain di mana mampu membawa perubahan berdasarkan kelebihan dan kepakaran masing-masing.

Berteraskan aspirasi untuk mengembalikan kegemilangan Negeri Sabah dan menyelesaikan masalah yang sudah lama berlarutan, gagasan ini memohon diberikan peluang untuk membuktikan kemampuan mereka.

Untuk rekod, calon yang tampil menawarkan diri bertanding untuk tiket bebas ini adalah Achmad Noorasyrul Noortaip (N.18 Inanam), Melanie Chia (N.19 Likas), Sim Sie Hong (N.20 Api-Api), Chin Ling Ling (N.21 Luyang) dan Jan Chow Yee Fah (N.22 Tanjung Aru).

Salah seorang ahli gagasan, Melanie Chia berkata, selaku ahli politik veteran, beliau terpanggil untuk kembali mewarnai dunia politik di negeri ini berikutan perlunya kesedaran yang banyak untuk pembangunan di Sabah.

Katanya, walaupun negeri Sabah diberkati dengan pelbagai sumber alam semula jadi namun kegagalan ataupun salahlaku urus tadbir kerajaan sebelum ini menyebabkan arus pembangunan gagal dilaksanakan sebaiknya.

“Sejak 12 tahun lalu, saya memperjuangkan mengenai hak negeri ini termasuk mendapatkan autonomi untuk Negeri Sabah.

“Selain itu, semangat yang ditunjukkan oleh rakan-rakan seperjuangan saya dalam membawa perubahan juga cukup memberi inspirasi kepada saya untuk sama-sama berjuang,” katanya dalam satu wawancara yang diadakan secara langsung di laman sosial facebook pada 15 September.


Melanie berkata, apa yang jelas, masih banyak lagi perkara yang perlu diambil secara progresif dan telus dalam usaha memajukan negeri Sabah pada masa akan datang.

Katanya, pengalamannya dalam dunia politik sebelum ini dan ditambah pula dengan kepakaran setiap ahli pasukan dalam gagasan itu akan memberi manfaat kepada rakyat dan negeri secara amnya.

Sementara itu, seorang lagi ahli GCBS, Sim Sie Hong berkata, sasaran utama sekiranya beliau diberikan peluang untuk menjadi wakil rakyat DUN Api-Api adalah menyelesaikan masalah banjir.

Katanya, beberapa tindakan perlu sudah digariskan mengikut kesesuaian keadaan bentuk muka bumi dan keadaan persekitaran di negeri ini.

“Saya sedar, masalah ini memerlukan kos yang besar namun dengan pengurusan yang cekap, banyak perkara boleh dilakukan termasuk menggunakan kepakaran luar negara dengan kaedah pembayaran balik terancang yang bersesuaian,” katanya.

Seorang lagi ahli gagasan, Achmad Noorasyrul Noortaip yang mahu menjadikan kebangkitan anak muda dengan menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan dalam masa terdekat.

Katanya, ia tidak mustahil kerana setiap peluang yang wujud sudah terbukti berjaya di luar negara dan sebagai contoh kerjaya sebagai ‘coders’.

“Tanpa kita sedari, negara-negara seperti India, Indonesia dan Vietnam sudah melahirkan ramai coders yang mampu bersaing di dunia luar.

“Inilah yang kita perlukan kerana ia boleh menjadi punca pendapatan yang cukup lumayan,” katanya.

Sementara itu, dua lagi ahli gagasan Michelle Chin Ling Ling dan Jan Chow Yee Fah turut berkongsi aspirasi untuk menjadi Sabah sebagai sebuah negeri yang amat maju dan berdaya saing.

Michelle berkata, aspirasi untuk memastikan setiap anak muda di negeri ini mendapat peluang pembelajaran secara berterusan sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Begitu juga dengan Jan Chow yang menegaskan, budaya ‘katak’ politik menjejaskan kemajuan pembangunan di negeri ini.

Katanya, akhirnya orang-orang yang terpilih atau dilantik adalah mereka yang tidak berkelayakan atau sesuai.

“Sebab itulah kita perlu memastikan mereka yang sesuai dan berkelayakan untuk memegang tampuk pemerintahan negeri sekaligus mampu membangunkan negeri Sabah sebaiknya,” katanya.

Tamat