Masuk Politik Untuk Bantu Basmi Kemiskinan.


KOTA KINABALU: “Saya bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini kerana masalah kemiskinan yang membelenggu ramai penduduk di kawasan Sepanggar,”

Demikian tegas calon Parti Liberal Demokratik (LDP) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Datuk Seri Marajoh Unding.

Marajoh berkata, masalah kemiskinan itu jelas dapat dilihat ketika kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Katanya, seramai 14,962 keluarga daripada 110 kampung terpaksa dibantu ketika itu memberikan gambaran betapa ramainya yang memerlukan bantuan disebabkan kemiskinan.

“Sewaktu kita berhadapan dengan wabak Covid-19 dan rakyat dikenakan PKP, saya nampak penderitaan dan kemiskinan rakyat serta banyak masalah belia.

“Ini menggerakkan hati saya untuk berjuang demi membantu rakyat kali ini,” katanya ketika ditemui pada majlis mesra pemimpin bersama rakyat di Kampung Rampaian, Menggatal semalam.

Marajoh berkata, masalah berkenaan sebenarnya dapat diselesaikan sekiranya wakil rakyat sebelum ini memainkan peranan mereka dengan lebih baik.

Katanya, hasil kerjanya selama 18 tahun dalam kebajikan dan sering turun padang untuk membantu rakyat menjadikannya mempunyai kelebihan untuk mengambil alih DUN Karambunai.

“Saya sudah membuat kerja kebajikan selama 18 tahun dan ini kali pertama saya menceburi bidang politik disebabkan perspektif saya pada politik berlainan.

“Namun selepas melihat kemiskinan yang masih berlaku, saya terpanggil untuk cuba perjuangkan nasib rakyat sekiranya diberi peluang untuk memenangi kerusi DUN Karambunai,” katanya.

Sebelum itu, Marajoh bersama calon DUN Inanam, Tan Sri Chong Kah Kiat yang juga Presiden Kehormat Seumur Hidup LDP turut membuat tinjauan mesra di sekitar Pekan Inanam dan Manggatal untuk berjumpa dengan rakyat di kawasan mereka.

Tamat