41 Ditahan Langgar SOP PKPP

KOTA KINABALU: Seramai 41 pelanggan yang leka berhibur di sebuah pusat hiburan di Damai Plaza, Luyang, ditahan polis, semalam.

Dalam kejadian jam 12.20 tengah malam itu, serbuan dijalankan sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, walaupun dalam kesibukan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, polis tidak mengabaikan tanggungjawab memastikan pemantauan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi.

Katanya, ini berikutan keadaan masih berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Dalam serbuan itu, keadaan premis masih dimainkan dengan kuat dan pelanggan sedang minum minuman beralkohol tanpa penjarakan sosial SOP.

”Hasil pemeriksaan, polis menahan 41 individu membabitkan 21 lelaki dan 20 wanita termasuk penjaga premis warga tempatan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Habibi berkata, semua yang ditahan di bawa ke IPD Kora Kinabalu untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.7), Peraturan 3 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 11,” tegasnya.

-ends