Laman Web Menghimpunkan Semua Jabatan dan Agensi Kerajaan.


Kota Kinabalu: Calon bebas untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru berharap dapat mewujudkan laman web rasmi yang menghimpunkan semua jabatan dan agensi kerajaan bagi memudahkan rakyat menyelesaikan urusan rasmi.

Ahli Gagasan Calon Bebas Sabah, Jan Chow Yee Fah berkata, walaupun kebanyakan agensi dan jabatan kerajaan sudah mempunyai laman web masing-masing, namun apa yang ada ketika ini tidak cekap atau efisien.

Katanya, sistem berpusat akan membolehkan orang ramai melawati laman web berkenaan untuk mencari butiran yang diperlukan, membuat temu janji atau pembayaran dalam talian jika perlu.

Ia bukan hanya menjimatkan masa, tetapi juga menjimatkan tenaga terutama apabila perlu mencari parkir di tempat yang sangat terhad.

Begitu juga apabila berurusan secara terus dengan penjawat awam. Kadang-kadang mengecewakan kerana sukar memberikan keputusan tepat atau jelas ketika ditanya,katanya ketika ditemui, hari ini.

Jan berkata, ada juga sesetengah pejabat kerajaan yang mempunyai banyak kaunter tetapi kekurangan pekerja untuk melayani pelanggan.

Katanya, ada ketika seseorang itu perlu berurusan dengan lebih daripada satu jabatan kerajaan tetapi ia terletak berjauhan antara satu sama yang lain.

Selain itu, ada juga pejabat kerajaan yang tidak mempunyai kemudahan sokongan seperti mesin fotokopi sehingga seseorang itu terpaksa pergi ke kedai di tempat lain.

Begitu juga apabila berurusan menerusi panggilan telefon, orang ramai terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan jawapan.

“Bukan itu saja, malah ada ketikanya pegawai yang bertanggungjawab tidak berada di pejabat dan segala urusan terpaksa ditangguh,katanya.

Jan berkata, satu lagi perkara yang sering terjadi apabila seseorang itu perlu kembali dalam beberapa hari untuk mendapatkan dokumen yang tidak lengkap, namun akhirnya kecewa kerana pegawai yang sepatutnya berurusan atau mengendalikan kes mereka bercuti pada hari berkenaan.

“Kejadian seperti ini sudah biasa berlaku, lebih menghampakan lagi apabila orang yang mengambil alih urusan itu terpaksa mengulangi semula prosedur dan kadang kala terpaksa menghabiskan masa untuk mencari fail bagi kes-kes tertentu.

Sebenarnya masih banyak aspek dalam urusan kerajaan yang perlu dipertingkatkan dan diperbaiki bagi mempermudahkan urusan rakyat.

Maklumat penting seperti dokumen yang diperlukan ketika berurusan dengan setiap jabatan kerajaan harus dinyatakan dengan jelas,katanya.

Jan berkata, semua permasalahan ini akan dapat diselesaikan sekiranya kerajaan mempunyai laman web berpusat yang dikemas kini dan dikendalikan oleh golongan profesional.

Katanya, Gagasan Calon Bebas Sabah mempunyai tenaga kerja yang diperlukan untuk menjadikan visi ini menjadi kenyataan.

TAMAT