Wanita Berperanan Penting Dalam DUN.


KOTA KINABALU: Wanita memainkan peranan penting di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kerajaan negeri dalam memberi manfaat kepada negeri ini secara keseluruhan, kata ahli Gagasan Calon Bebas Sabah (GCBS),
Chin Ling Ling.

Calon N.21 Luyang itu berkata, beliau percaya bahawa wanita secara semulajadi mempunyai kelebihan berkomunikasi dan menjadi penyelesai masalah yang baik.

Katanya, sejak sidang DUN diwujudkan pada tahun 1963, sejumlah wanita sudah pernah berkhidmat sama ada sebagai Ahli DUN ataupun petugas berkaitan secara langsung atau tidak langsung.

Begitu juga dalam sidang DUN ke-15, seramai tujuh wanita berada di antara 60 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Ini kerana wanita juga mempunyai hak untuk memilih dan menjadi calon sejak tahun 1967.

“Calon wanita pertama yang berjaya dilantik menjadi ADUN ialahToh Puan Rahimah Stephens, yang dipilih sebagai ADUN Kiulu pada tahun 1976. Sejak itu, sidang DUN Sabah terus mempunyai wakil ADUN wanita,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Chin berkata, penglibatan wanita akan membawa kelebihan kepada penyelesaian sebarang masalah secara keseluruhan, bukan sahaja dalam isu-isu wanita.

Katanya, peranan wanita dalam politik juga tidak kurang penting kerana mereka dapat membantu kerajaan dalam pembentukan polisi-polisi komprehensif yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

Melalui politik, wanita dapat mengemukakan isu-isu termasuk keselamatan, kesejahteraan dan kestabilan hidup, modal insan, kelahiran anak, penjagaan anak dan banyak perkara lain di DUN,dari perspektif yang berbeza. Setelah dibahaskan di DUN, ia secara tidak langsung akan memperluaskan ruang lingkupan masalah yang dibincangkan.

Ini membolehkan pemimpin memahami masyarakat dengan lebih baik dan seterusnya mewakili masyarakat secara keseluruhan,” katanya.

Chin berkata, apabila wanita berada dalam politik, mereka dapat mempengaruhi pengubal polisi supaya melindungi hak-hak wanita dari segi undang-undang yang bersesuaian.

“Mudah-mudahan dengan pembabitan ramai wanita dalam DUN akan memberikan manfaat kepada Sabah secara keseluruhan, katanya.

TAMAT