Pasukan Pemantau SPR Hentikan Ceramah Anwar di Inanam.

KOTA KINABALU: Pasukan Pemantau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan menghentikan majlis ramah mesra bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim, di Inanam, malam tadi.

Dalam insiden kira-kira jam 8 malam itu, program berkenaan yang dihadiri kira-kira 200 orang terpaksa dihentikan selepas dikatakan tidak mempunyai permit kebenaran daripada pihak berkuasa.

Anwar yang tiba di majlis berkenaan sempat berucap kira-kira 10 minit sebelum diminta berhenti oleh pasukan yang terdiri daripada polis dan SPR.

Difahamkan, program berkenaan adalah sebahagian daripada ceramah sokongan kepada calon PKR untuk DUN Inanam, Peto Galim yang turut sempat memberi ucapan selama kira-kira 20 minit.

Sementara itu, Pengarah strategik PKR, Sim Tze Tzin berkata,  beliau amat kesal dengan kejadian itu yang menjejaskan kempen calon mereka.

Namun katanya, insiden seumpama itu boleh disifatkan sebagai satu perkara biasa ketika musim berkempen.

“Program ini sebenarnya dirancang pada saat akhir iaitu pada malam Jumaat, dan kami telah cuba menghantar permohonan semalam.

“Namun bahagian yang memproses permit untuk kempen di balai polis tutup pada hujung minggu,” katanya.