PDRM Perhalusi Cara Pesakit Covid Keluar Mengundi

KOTA KINABALU: Polis akan menganjurkan persidangan khas bagi memperhalusi kaedah untuk membenarkan pesakit COVID-19 keluar mengundi, 26 September depan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, beliau akan mengaturkan perbincangan dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, ia amat perlu kerana ia adalah situasi pertama yang dihadapi membabitkan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Kita tidak nafikan, semua orang layak mengundi namun kita perlu memikirkan kaedah untuk membolehkan mereka yang disahkan positif keluar mengundi mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) tertentu.

“Perkara ini akan diperhalusi bersama dengan pihak terbabit bagi membincangkan tindakan yang boleh diambil bagi mengelakkan wujudnya kluster baharu sepanjang waktu mengundi,” katanya.

Sementara itu, Hazani berkata, seramai 6,628 anggota polis akan keluar mengundi dan bertugas sepanjang hari mengundi kelak.

“Seramai kira-kira 11,000 anggota dan pegawai polis serta keluarga akan keluar mengundi dan ada yang keluar mengundi awal pada 22 September ini manakala selebihnya akan mengundi pada 26 September depan.

“Perihal berkempen di pantai timur Sabah kita memberikan kelonggaran untuk keluar berkempen bagaimanapun ditegaskan kepada calon dan ahli parti agar sentiasa mematuhi SOP ditetapkan,” katanya.

Tambahnya setakat ini polis menerima sembilan laporan berkenaan kesalahan Akta Piliharaya dan Akta Multimedia.

Tamat