Tolak pemimpin guna wang untuk beli undi

Bongawan: Rakyat perlu menolak pemimpin yang menggunakan wang untuk ‘membeli’ undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Presiden Kehormat Parti Liberal Demokratik (LDP), Tan Sri Chong Kah Kiat berkata, sebaliknya calon yang dipilih perlu ikhlas membantu rakyat untuk tempoh lima tahun bukan hanya sekadar menabur kemewahan sementara.

Menurutnya, pemimpin yang dipilih perlu tahu apa yang diperlukan rakyat kerana apa yang lebih penting pembangunan dibawa bukan wang semata-mata.

“Ada calon hanya dilihat ketika tempoh berkempen namun lesap selepas mandat diberikan rakyat dalam PRN Sabah.

“Rakyat mahu dapat pembelaan sewajarnya dan pemimpin anak tempatan yang tahu masalah setempat perlu dipilih kerana keperluan pembangunan lebih diketahui berbanding orang luar,” katanya dalam Majlis Ceramah Perdana LDP di Kampung Tengah, Bongawan, hari ini.


Turut hadir, calon LDP Bongawan, Mohd Azree Abd Ghani.

Kah Kiat yang juga bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, sudah tiba masanya Bongawan memerlukan anak tempatan sebagai wakil mereka yang memiliki visi jangka panjang dan pembangunan berterusan dalam segala aspek.

“Mohd Azree adalah anak tempatan Bongawan kerana dia tahu apa yang diperlukan rakyat dan berjuang untuk merealisasikan hasrat rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Azree melaungkan keyakinan untuk membuktikan apa yang dikatakan sepanjang kempen itu bukan sekadar cakap kosong.

Katanya, anak muda perlu tampil diberi peluang dan perubahan yang mahu dibawa bakal memanfaat pengundi yang selama ini masih jauh ketinggalan berbanding bandar berdekatan.

“Saya buat apa yang saya cakap. Beri peluang untuk saya buktikan Bongawan mampu setanding dengan bandar lain kerana mempunyai pelbagai potensi yang boleh diterokai.

“Jangan perjudikan masa depan Bongawan kerana ini adalah masa untuk kita sekali lagi berubah kearah yang lebih baik,” katanya.

tamat