ARMADA Buat Laporan Polis.

KOTA KINABALU: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) membuat laporan polis terhadap kenyataan berbaur fitnah oleh Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama, Datuk Mohammadin Ketapi semasa ucapan kempennya.

Ketua Penerangan ARMADA Sabah, Fariz Fadila berkata, laporan itu dibuat bagi menggesa pihak polis untuk menjalankan siasatan terhadap bekas Menteri Pelancongan Seni dan Budaya terbabit berhubung tuduhan liar yang dibuatnya.

Katanya, Armada turut mengecam ucapan calon berkenaan yang dirakam dalam satu ceramah Parti Warisan Sabah (WARISAN) sebelum ditularkan di media sosial sejak semalam itu, seolah-olah mempersendakan insiden Lahad Datu yang mengorbankan nyawa pasukan keselamatan negara.

“Dalam ucapan itu, beliau mengatakan bahawa insiden pencerobohan Lahad Datu yang berlaku di Sabah sebelum ini hanyalah sandiwara semata-mata.

“Kenyataannya jelas berniat jahat, fitnah dan bertujuan mewujudkan satu persepsi tidak benar ke atas situasi yang benar-benar berlaku di Sabah yang berkaitan soal kedaulatan negara,” katanya.

Fariz berkata, Mohamaddin juga memfitnah kerajaan serta pasukan keselamatan khususnya polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti berkomplot untuk mewujudkan suasana panik di Sabah .

Katanya, Mohamaddin juga secara tidak langsung, menghina Yang Dipertuan Agong, sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera yang digambarkan seperti bersubahat dengan kerajaan dalam mewujudkan suasana huru-hara di Sabah.

“Oleh itu, ARMADA mahu pihak polis mengambil tindakan sewajarnya dan menyiasat Mohamaddin Ketapi atas tuduhan fitnah berniat jahat ini,” katanya.

Tamat