Perubahan Harus Dilakukan.


Kota Kinabalu:
Usaha dan idea yang dilontarkan menerusi pelbagai medium termasuk laman sosial Facebook sebelum ini terbukti sampai ke sasarannya apabila ada pihak yang bersetuju dengan perjuangan Gagasan Calon Bebas Sabah (GCBS),

Demikian tegas, salah seorang ahli GCBS, Melanie Chia, mengulas pandangan dan maklumbalas yang diterbit di sebuah akhbar tempatan yang menggesa supaya kerajaan baharu yang ditubuhkan nanti menggunapakai cadangan mereka.

Melanie berkata, apa yang diperjuangkan dan diusahakan oleh kumpulan mereka adalah untuk kebaikan bersama terutamanya membabitkan masa depan negeri Sabah.

Katanya, rakyat Sabah sebenarnya risau disebabkan keadaan politik masa kini yang tidak menentu sehingga menjejaskan lagi ekonomi negeri Sabah.

Ditambah pula dengan penularan wabak pandemik Covid19 ketika ini. Sesuatu harus dilakukan untuk memulihkan semula keadaan ekonomi negeri Sabah dan bukan hanya menghabiskan masa berpolitik.

Terima kasih kerana memberi perhatian kepada perjuangan GCBS. Kami akan cuba melakukan yang terbaik apabila diberikan kepercayaan untuk memimpin negeri Sabah,katanya ketika dihubungi, hari ini.

Melanie berkata, ekonomi hanya boleh dipulihkan bermula dengan kekuatan kerajaan untuk mentadbir negeri ini sendiri tanpa perlu terlalu terikat dengan kerajaan persekutuan.

Katanya, ini kerana hanya orang Sabah yang betul-betul memahami dan tahu selok belok bagaimana untuk mentadbir negeri ini.

Cara pengurusan di Semenanjung Malaysia sudah pasti amat berbeza kerana selama ini Sabah ditadbir dalam kedudukan kewangan yang terhad berbanding di Malaya.

Selain itu, walaupun masih banyak kekurangan dalam aspek pembangunan, namun kos kehidupan di Sabah agak tinggi seperti di Kuala Lumpur, dan ini sudah berlarutan sejak lebih 50 tahun lalu,katanya.

Sehubungan itu, Melanie menegaskan, sebagai rakyat Sabah yang bertanggungjawab, kita harus menggunakan kuasa sebagai rakyat untuk menentukan masa depan negeri ini.

Tiada sesiapa lagi yang mampu melakukannya, kuasa telah dikembalikan kepada rakyat Sabah untuk membuat perubahan,tegasnya.

Tamat