Rancakkan Ekonomi Sebaik Mendapat Mandat

Kenyataan Media Bendahari Agung Parti Warisan Sabah, Terrence Siambun


KENINGAU : Bendahari Agung Parti Warisan Sabah, Terrence Siambun hari ini memberi jaminan bahawa usaha untuk merancakkan semula ekonomi negeri ini yang terkesan akibat penularan wabak Covid 19 akan dilaksanakan sejurus sahaja pakatan tersebut mendapat mandat dari rakyat Sabah pada 26 September ini.

“Agenda utama Warisan Plus melalui Misi & Visi yang kita lancarkan pada 12 September 2020 ialah untuk memulakan agenda pemilikkan ekonomi (economic ownership) di kalangan rakyat Sabah khususnya penduduk kampung yang tinggal di kawasan luar bandar melalui industri pertanian, penternakkan dan perniagaan kerana agenda ini mampu meningkatkan taraf hidup, daya saing dan keyakinan mereka.

Kita sedar bahawa ramai penduduk kampung ragu-ragu untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan maka Warisan Plus akan memberikan penekanan terhadap penubuhan koperasi-koperasi di seluruh negeri sebagai platform perniagaan berisiko rendah dan kita akan sediakan dana permulaan yang lebih besar selain daripada menyediakan perkhidmatan nasihat pengurusan serta undang-undang.

Di samping itu, Warisan Plus juga akan menggiatkan lagi aktiviti usaha-sama (Joint Venture) antara koperasi atau syarikat tempatan dengan syarikat SME asing dalam pelbagai sektor seperti pemprosesan makanan dan pengilangan bersaiz kecil dan sederhana untuk tujuan eksport,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terrence juga menjelaskan bahawa untuk membolehkan lebih ramai syarikat SME asing untuk datang dan membuka kilang mereka di sini, Warisan Plus akan membuka lebih banyak hub-hub perindustrian di negeri ini.

“Jika kita mahu syarikat-syarikat SME asing untuk datang dan membuka kilang-kilang mereka di sini, kita kena sediakan tapak untuk mereka dirikan kilang maka oleh yang demikian, kita akan sediakan hub-hub perindustrian yang bersaiz kecil di seluruh daerah mengikut kesesuaian.

“Ianya tidak efisyen sekiranya bahan mentah untuk industri memproses makanan seperti nanas di Babagon dihantar ke kilang di KKIP (Taman Perindustrian Kota Kinabalu) kerana ia akan menelan kos tinggi. Kita kena buka hub perindustrian kecil di kawasan Upper Moyog agar nanas dapat diproses dengan segera,” jelasnya lagi.

Terrence juga mengatakan bahawa Reformasi Tanah yang sedang dilaksanakan di Sabah bakal mengubah landskap ekonomi negeri ini kerana penduduk kampung kini memiliki tanah untuk diusahakan.

“Reformasi Tanah ialah kunci bagaimana Korea Selatan dan Taiwan yang musnah teruk akibat Perang Dunia Kedua mampu menjadi kuasa ekonomi dunia dalam jangkamasa hanya 25 tahun sahaja selepas perang tamat.

Pemberian geran-geran tanah kepada penduduk-penduduk kampung akan membuahkan hasilnya apabila hub-hub perindustrian SME dibuka di kawasan-kawasan di mana pemberian geran-geran tanah ini telah pun selesai dan syarikat-syarikat SME asing mula beroperasi di sana.

Ini adalah kerana penduduk kampung kini boleh menjalankan projek pertanian atau penternakkan mereka samada secara bersendirian, berkelompok ataupun melalui skim krperasi mengikut konsep 1 Daerah 1 Produk yang akan ditentukan oleh Jabatan Pertanian di mana hasil-hasil tanaman atau ternakkan akan dihantar ke hub-hub perindustrian SME ini untuk diproses.

Dan untuk membantu penduduk kampung miskin tegar merealisasikan projek mereka ini mengikut konsep 1 Daerah 1 Produk, bantuan bibit dan baja akan disediakan dan hasil tuaian akan dibeli oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

Siambun juga berkata bahawa Warisan Plus mempunyai kelebihan berbanding dengan parti-parti lain dalam usaha untuk menarik syarikat-syarikat SME asing untuk datang dan melabur di negeri ini.

“Kebanyakkan bekas Menteri Persekutuan dan Negeri yang berkaitan dengan perdagangan antarabangsa dan pelaburan asing ada dalam Warisan Plus seperti Datuk Darell Leiking yang merupakan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Seri Madius Tangau yang merupakan bekas Menteri Perdagangan dan Industri Sabah dan Datuk Raymond Tan Shu Kiah yang merupakan bekas Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah.

Kesemua mereka ini mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang meluas dalam bidang perdagangan antarabangsa yang bukan hanya terhad kepada promosi pelaburan tetapi juga merangkumi ‘trade negotiation’ dan ‘trade facilitation’ yang memerlukan kriteria khusus seperti karisma, personaliti yang menarik hati dan keupayaan untuk berkomunikasi dengan baik sekali dalam Bahasa Inggeris.

Saya tidak nampak kriteria ini ada di mana-mana pemimpin parti-parti politik yang lain seperti Hajiji Mohd Noor ataupun Bung Mokhtar Radin maka saya rasa mereka pasti akan gagal untuk membawa pelabur luar masuk ke negeri ini.”