Sesiapa Saja Layak Mentadbir Negara.

Kota Kinabalu: “Sesiapa saja berhak menawarkan diri sebagai calon politik dan siapa pun yang mempunyai berkualiti layak diberi kesempatan untuk memimpin sebuah negara,” kata Calon Likas, Melanie Chia.

Menurutnya, itu adalah antara pendapat dikongsi oleh rakyat Sabah yang menyokong Gagasan Calon Bebas Sabah (GCBS) ketika sesi ‘walkabout’ di Tamu Ahad Jalan Gaya, semalam.

Program berkenaan disertai semua empat lagi ahli GCBS iaitu Achmad Noorasyrul Noortaip yang bertanding di Inanam, Sim Sie Hong (Api-Api), Michelle Chin Ling Ling (Luyang) dan Jan Chow Yee Fah untuk Tanjung Aru.

Semua mereka meluangkan masa di Jalan Gaya bagi memperkenalkan diri kepada orang ramai selain menerangkan mengenai visi mereka kepada masa depan dan politik di Sabah.

Chia berkata, objektifnya untuk keluar dari parti SAPP dan tampil sebagai calon bebas adalah untuk melayani rakyat dengan lebih baik tanpa perlu dikawal oleh mana-mana parti politik.

“Banyak pengundi setuju bahawa kita tidak perlu mempunyai dua parti politik terbesar untuk memimpin Sabah, kerana kita juga boleh melakukannya.

“Kita sepatutnya fokus untuk melayani bos kita yang sebenarnya iaitu rakyat dan bukan perlu terikat dengan mana-mana parti politik atau pemimpin teruramanya dari Malaya,” katanya.


Melanie berkata, walaupun mengundi dan memberi kepercayaan kepada calon bebas di Sabah adalah perkara yang agak baru, namun ia tidak bermaksud calon bebas tidak dapat melakukan tugas itu.

“Ya, saya tahu orang mungkin tidak mempercayai kita akan dapat menyampaikan apa yang mereka harapkan, dan banyak juga yang tertanya-tanya apakah ada di antara kita yang akan menyertai parti politik jika menang di kerusi yang kita bertanding.

“Saya sendiri menerima sejumlah tawaran dari pelbagai parti politik untuk menyertai mereka selepas menyerahkan nama sebagai calon.

“Oleh itu, sekiranya saya tidak ikhlas untuk berdiri sendiri dan melayani rakyat sebagai calon bebas, saya sudah pasti akan menyertai parti yang menjanjikan saya kedudukan terbaik,” kata Chia.

Melanie berkata, dia sendiri juga mempunyai tanggungjawab terhadap ahli GCBS dan tidak akan mengkhianati harapan serta kepercayaan mereka kepadanya.

Katanya, beliau berharap rakyat akan membuka minda dan hati mereka untuk menerima politik baru.

“Kita juga berharap rakyat dapat menerima calon bebas dan berkualiti yang boleh dipercayai sebagai pemimpin negara di masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengapa memilih untuk bertanding sebagai calon bebas, Melanie berkata, ia disebabkan beliau menyedari dan melihat kekecewaan rakyat berikutan ketidakstabilan politik dan telatah pemimpin selepas PRU14.

“Banyak juga yang mengatakan mereka tidak mahu keluar untuk mengundi lagi kerana percaya undi mereka tidak penting lagi.

“Dan ini adalah tanda tidak sihat bagi politik dan negara kita,” katanya.

Melanie berkata, selepas memutuskan untuk keluar daripada parti SAPP, beliau membentuk GCBS bersama-sama dengan orang profesional dan boleh dipercayai untuk mengubah landskap politik dan masa depan rakyat Sabah.

TAMAT