270 Pegawai Dan Anggota Tidak Mengundi Awal.

Kota Kinabalu: Seramai 270 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sabah tidak dapat keluar mengundi awal disebabkan masih berada dalam tahanan kuarantin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kebanyakan anggota yang terbabit adalah dari Pasukan Gerakan Am (PGA) yang  berpangkalan di Lahad Datu dan Kota Kinabalu.

Katanya, semua anggota yang terbabit perlu dikuarantin selepas terlibat dalam kes penahanan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang disahkan positif Covid-19.

“Setakat ini, kira-kira 25 peratus anggota dan pegawai sudah keluar untuk menjalankan tanggungjawab pengundian awal hari ini di seluruh Sabah.

“Saya mengarahkan semua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera keluar mengundi berikutan keadaan cuaca tidak menentu, hari ini,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di Mes Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali.

Sementara itu, Hamid berkata, orang ramai diminta supaya tidak bimbang untuk keluar menunaikan tanggungjawab Sabtu ini.

Katanya, pihak polis memberi jaminan keadaan keselamatan ketika ini berada pada tahap terbaik.

“Bagaimanapun orang ramai juga diingatkan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ekoran peningkatan kes yang tinggi di Sabah.

“Ada dakwaan yang mengatakan jumlah pesakit Covid-19 yang meningkat sengaja dibuat bagi menakutkan orang ramai untuk mengundi.

“Namun, saya beri jaminan isu ini tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak dan apa juga data yang dikeluarkan KKM ada benar,” katanya.

Tamat