Ewon Tekad Teruskan Perjuangan Demi Kadamaian

 


KOTA BELUD: Calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick bertekad meneruskan misinya untuk membela nasib rakyat Kadamaian khususnya dari segi pembangunan infrastruktur dan kebajikan.

Beliau yang juga Naib Presiden UPKO berkata, ini kerana tempoh lebih kurang dua tahun berkhidmat sebagai Wakil Rakyat Kadamaian tidak mencukupi untuk memenuhi semua keperluan rakyat termasuk membantu menyelesaikan masalah mereka.

“Saya belum puas membantu rakyat di Kadamaian sebab masih banyak yang ingin saya laksanakan terutamanya menjayakan aspirasi rakyat dalam Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035.

“Pilihanraya ini adalah untuk memilih wakil rakyat yang boleh membantu rakyat  mendapatkan pembangunan infrastruktur, program perumahan rakyat termiskin (PPRT) dan membantu pelajar mendapatkan biasiswa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program santai bersama penduduk kampung di Kg.Gensurai, Kg.Bayayat, Kg.Sogoh dan Kg.Tambulaung, di sini.

Ewon yang juga penyandang DUN Kadamaian berkata, tanggungjawab seorang wakil rakyat ialah berusaha menyelesaikan masalah rakyat di kawasannya.

“Semua calon yang bertanding di DUN Kadamaian semuanya baik dan mempunyai wawasan serta manifesto sendiri untuk kepentingan rakyat.

“Bagaimanapun ada sebahagian daripada mereka berkempen dengan membuat tuduhan melulu termasuk menjadikan isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) untuk menjatuhkan pihak lawan mereka.

“Sebagai calon yang ingin dipilih sebagai wakil rakyat, kita harus fokus dengan isu-isu pembangunan di kawasan yang kita wakili dan fokus saya bukan isu PATI tetapi mahu menjayakan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian.

“Aspirasi yang terkandung dalam pelan induk itu adalah aspirasi rakyat di kesemua 74 buah kampung. Oleh itu saya berharap diberikan peluang untuk meneruskan perkhidmatan kepada rakyat Kadamaian,” katanya.

Beliau tidak menafikan, isu PATI memang wujud tetapi ia bukan perkara baru sebaliknya ia telah lama wujud sebelum beliau lahir pada tahun 80an.

“Dalam kabinet kerajaan negeri Sabah yang diketuai Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal yang lalu, ia dianggotai pelbagai kaum termasuk Kadzandusun, masyarakat Cina dan kaum-kaum lain di Sabah.

“Sebagai penduduk asal di negeri ini, anggota-anggota kabinet lain tidak mungkin akan membiarkan PATI diberikan hak keistimewaan seperti yang sering diperkatakan pihak pembangkang,” katanya.

Ends