GABUNGAN RAKYAT SABAH ‘KERAJAAN’ BERSYARAT

PITAS: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menyifatkan Gabungan Rakyat Sabah  (GRS) sebagai satu gabungan yang hanya menjalankan kerja dengan bersyarat.

“Baru-baru ini Hamzah Zainuddin Menteri Kementerian Dalam (KDN) Negeri datang ke Kiulu dan nyatakan dia sebagai Menteri KDN ada kuasa hantar balik Pendatang Tanpa Izin (PTI) tapi dia bagi syarat, dia mau kasih menang Joniston di Kiulu baru dia hantar balik PTI, kalau kalah, dia bilang buat apa kasih hantar mereka (PTI) balik.

“Ini mencerminkan hati mereka bahawa selama ni dia (Hamzah) tidak ikhlas dan tidak bersungguh-sungguh menjalankan kewajipan beliau dalam melaksanakan undang-undang di mana orang asing yang berada di Malaysia tanpa pasport Antarabangsa harus di hantar balik…itu bererti dia buat benda bersyarat.

“Kalau beginilah dia (Hamzah) buat kerja bagaimana kita rakyat mahu memberi kepercayaan kepada dia. Tambahan sekarang ketika kita berhadapan dengan pandemik Covid-19 dan kesulitan yang kita lalui…tidak perlulah tukar-tukar kerajaan negeri, sambung sahaja 5 tahun,” katanya.

Madius berkata demikian, semasa mengadakan Program Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Mangkapon, Pitas, di sini, pada Isnin.

GRS ialah gabungan merujuk kerjasama Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Madius dalam hari ke sepuluh menjelajah ke beberapa kawasan UPKO dan Warisan Plus berkata permasalahan PTI merupakan isu utama terutama bagi masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM).

“Kita sudah berkempen selama 10 hari dan saya sendiri telah jelajah beberapa daerah untuk bantu calon-calon Warisan Plus khususnya calon-calon UPKO. Saya dapati bahawa pada mulanya banyak kekeliruan berkaitan isu Pendatang Tanpa Izin (PTI) dimana ada golongan yang memfitnah Parti Warisan Sabah (Warisan) sebagai penternak PTI dan UPKO bersekongkol.

“Setelah beri penjelasan dalam pelbagai sesi akhirnya selepas 10 hari mereka telah nampak bahawa semua itu hanya propaganda, tuduhan dan bikinan kerana pihak lawan kita ini sudah kehilangan modal untuk berpolitik, tiada modal politik lagi untuk tarik pengundi,” katanya.

Madius turut menyatakan bahawa di setiap kempen UPKO, penjelasan yang menyeluruh bersama fakta adalah penting supaya rakyat tahu dan sedar perkara sebenar.

“Rakyat semua pun sudah faham bahawa tuduhan terhadap Warisan itu karut…tidak betul, sebaliknya rakyat sudah mula marah kepada UMNO.

“Kita (Warisan Plus) tidak takut dan jentera semua bersemangat dan bekerja sebagai satu pasukan; Warisan, UPKO, PKR, DAP dan Amanah bekerjasama dengan baik, sementara sebelah sana bercakaran, bergaduh. Mudah-mudahan dengan izin Tuhan, kita harap kerajaan Warisan Plus akan menang dalam pilihan raya kali ni,” katanya.

End.