Jadikan Jalan Gaya Tapak Warisan Sabah.


KOTA KINABALU: Mana-mana parti yang membentuk kerajaan negeri selepas 26 September ini seharusnya mempertimbangkan untuk menjadikan Gaya Street sebagai tapak warisan Sabah.

Ahli Gagasan Calon Bebas Sabah (GCBS) Sim Sie Hong yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api berkata, keadaan jalan berkenaan tidak lagi meriah seperti sebelum ini.

Katanya, keadaan jalan berkenaan sepatutnya masih gah dan terkenal seperti beberapa tahun lalu ketika sentiasa sibuk dengan pelancong dalam dan luar negara.

“Perniagaan di jalan berkenaan cukup terkesan teruk disebabkan penularan pandemik Covid-19. Semua kedai yang menjual cenderahati pelancong tidak lagi mempunyai jualan sebaik sebelum ini.

“Jalan Gaya juga sepatutnya diwartakan sebagai tapak warisan bagi mengelakkannya daripada hilang ditelan zaman dan pembangunan,” katanya.


Sim berkata, Jalan Gaya yang sebelum ini dinamakan ‘Bond Street’ juga mempunyai bangunan kolonial pertama.

“Ia merupakan di Jalan gaya, dua barisan kedai pertama yang di bina di Api-Api sekitar tahun 1951.

“Kawasan ini mempunyai nilai sejarah yang sangat baik seperti Taman Peringatan Zaman Peperangan berhampiran dengan Tugu Meriam yang kini dipindahkan ke hadapan bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK),” katanya.

Sim berkata, begitu juga dengan Menara Jam Atkinson yang dibina pada tahun 1905 berhampiran Padang Merdeka di pusat bandar Kota Kinabalu yang mempunyai nilai sejarah tinggi.

“Kita harus mengambil langkah bijak dengan mewujudkan polisi perniagaan yang baik untuk mendorong perniagaan di sini kembali aktif. Sekiranya tidak, Jalan Gaya akan hilang dan dilupai,”katanya.

Sim berkata, kerajaan seharusnya melakukan lehih banyak usaha berterusan untuk menggalakkan pelancong tempatan ke jalan ini berbanding sebelumnya yang hanya bergantung kepada kehadiran pelancong China.

Sementara itu, Calon GCBS untuk DUN Likas, Melanie Chia berkata, ramai pihak yang mendakwa bandaraya Kota Kinabalu tidak mempunyai banyak produk pelancongan.

Namun Katanya, berapa ramai pula yang benar-benar mengetahui Jalan Gaya in sebenarnya penuh dengan warisan sejarah.

“Sebahagian besar dari sejarah penting negeri Sabah bermula di sini. Sekiranya kita dapat melestarikan semula kawasan ini, sebenarnya ada banyak yang dapat dilakukan dan diterokai untuk pelancongan,” katanya.

Melanie berkata, beliau percaya dengan kerjasama lima ahli gagasan iaitu Achmad Noorasyrul Noortaip yang bertanding di DUN Inanam, Chin Ling Ling (Luyang) dan Jan Chow Yee Fah (Tanjung Aru) impian itu akan dapat menjadikannya realiti.

TAMAT