KFR DALANGI SEMBILAN KES CUBAAN CULIK

Kota Kinabalu: Kumpulan penculik untuk wang tebusan (KFR) dikesan mendalangi sembilan kes cubaan culik di kawasan pantai timur Sabah sejak Mei hingga kini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan daripada pasukan keselamatan Filipina.

Katanya, bukan saja cubaan untuk culik berlaku tetapi juga ada cubaan pergerakan menyeberangi masuk ke sempadan Sabah.

“Alhamdulillah, setakat ini aset-aset kita di laut dalam keadaan siap siaga dan kita akan diteruskan dan bukan saja ketika PRN semata-mata.

“Ia bagi memastikan keamanan Sabah terjamin sepenuhnya,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, mengenai maklumat kemasukan beramai-ramai rakyat dari negara jiran ke Sabah, untuk membuat kekacauan ketika PRN, Hazani berkata, polis sentiasa mempertingkatkan kawalan keselamatan untuk menghalang sebarang pelakukan jenayah berlaku.

“Seperti mana pada tahun 2018 lalu terdapat satu kes culik berlaku di Tambisan, Lahad Datu, ketika pilihan raya umum dan kita jangkakan di atas kesibukan anggota keselamatan ketika ini, pihak-pihak dari negara jiran cuba masuk dan membuat kekacauan dan pelakuan jenayah.

“Mereka mungkin mempunyai dua kerakyataan dan pulang untuk mengundi. Mereka ada hak untuk mengundi namun mereka menggunakan jalan-jalan tikus untuk balik.

“Kita akan halang mereka dan kemungkinan mereka membawa wabak Covid-19 ke dalam masyarakat,” katanya.

tamat