Polis Terima 35 Laporan Terhadap Insiden Menghina Pasukan Keselamatan.

Kota Kinabalu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 35 laporan polis, setakat ini, membabitkan kenyataan seorang bekas menteri terhadap pasukan keselamatan dalam insiden Op Daulat Lahad Datu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, 28 laporan dibuat di negeri ini manakala tujuh lagi laporan diterima di Semenanjung Malaysia.

Katanya, semua laporan itu berkisar ceramah yang dibuat oleh calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama, ketika berkempen di gelanggang futsal Kampung Wawasan, Lahad Datu, jam 3 petang, Ahad lalu.

“Kertas siasatan dibuka dan disiasat mengikut Seksyen 500, Seksyen 505 B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman akan mengambil alih sepenuhnya siasatan yang akan dijalankan,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan pengundian awal di Mes Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Hazani berkata, siasatan akan dilakukan secara profesional dan selepas selesai, kertas siastaan akan dihantar ke peguam negara untuk arahan selanjutnya.

“Bila-bila masa sahaja kita akan panggil calon itu untuk memberi keterangan.. tapi seboleh-bolehnya saya cuba selepas PRN supaya tidak mengganggu proses kempen dan PRN yang sedang berlangsung,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai proses pengundian awal, beliau berkata, keadaan baik dan hari ini seramai 11,423 warga polis yang terdiri daripad pegawai, anggota dan kakitangan awam serta keluarga keluar mengundi di pusat-pusat yang di tetapkan di seluruh daerah di Sabah.

tamat