Tanjung Aru Perlukan Pembangunan.


KOTA KINABALU: Penduduk Tanjung Aru mahukan pembangunan di kawasan mereka yang sebelum ini menjadi salah satu destinasi pelancongan terkenal di Sabah.

Calon Gagasan Calon Bebas Sabah (GCBS) untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru, Jan Chow berkata, kawasan ini mempunyai nilai warisan yang tinggi dan seharusnya dibangunkan secara berterusan.

Katanya, bukan saja untuk perniagaan tetapi juga pusat kewangan seperti bank dan kemudahan-kemudahan lain.

“Penduduk di sini mengharapkan akan ada kemudahan seperti mesin ATM dapat dibina. Ketika ini, penduduk di sini perlu pergi jauh ke pusat komersial Aeropod ataupun pusat bandaraya hanya untuk mengambil wang.

“Kita perlu mencari jalan untuk memacu pertumbuhan ekonomi di sini, terutama pada masa-masa sukar seperti sekarang,” katanya, ketika melakukan lawatan ke kawasan berkenaan bersama rakan calon GCBS, Melanie Chia (Likas) dan Sim Sie Hong (Api-Api).

Jan berkata, sejak penularan wabak Covid19, banyak kedai terpaksa ditutup kerana kekurangan pengunjung yang datang.

Sementara itu, Jan berkata, pihak GCBS amat gembira kerana sokongan terhadap mereka semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Katanya, ramai yang menyatakan lebih baik rakyat memilih calon bebas kerana terlalu banyak parti politik yang bertengkar sesama sendiri sehinggakan dan tidak mempunyai masa untuk rakyat.

“Saya berharap penduduk Tanjung Aru dapat memberikan peluang untuk memilih saya sebagai wakil rakyat mereka,” katanya.

Tamat