Bukan Sebab Pasang Bendera

Sandakan: Kes seorang lelaki cedera parah yang tular di media sosial kononnya dibelasah selepas memasang bendera parti adalah tidak benar.

Sebaliknya kes pergaduhan berkenaan berpunca daripada perasaan tidak puas hati terhadap mangsa yang dikatakan mengejek berulang kali.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, kejadian yang berlaku di Kampung Pulau Nunuyan Laut, di sini, pada 18 September lalu.

Katanya, mangsa yang berusia 62 tahun disyaki dipukul menggunakan objek keras dan satu laporan dibuat di Balai Polis Bandar Sandakan.

“Hasil siasatan mendapati kes ini berlaku kerana perasaan tidak puas hati suspek terhadap mangsa kerana mengejeknya.

“Untuk makluman juga, kes ini tiada kaitan akibat pemasangan bendera parti dan kertas siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Azhar berkata, siasatan lanjut kemudiannya membawa kepada tangkapan seorang suspek lelaki berusia 26 tahun.

Katanya, suspek ditahan pada jam 11.45 pagi, 19 September lalu di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Nunuyan Laut.

“Suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut sehingga Sabtu ini,” tegasnya.

Tamat