SAYA SENTIASA BUKA RUANG KERJASAMA WALAU TIDAK SEHALUAN – MADIUS

KIULU: Perbezaan haluan bukan menjadi halangan dalam mencapai kesepakatan untuk pembangunan dan kemakmuran rakyat.

Bagi Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, kesepakatan dalam menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat harus diutamakan walaupun bekerjasama dengan pemimpin yang tidak sehaluan dalam struktur politik.

“Sudah menjadi amalan kita dalam UPKO untuk bekerjasama sepenuhnya tanpa keraguan di antara satu sama lain. Kita tetap akan bekerja sebagai satu pasukan walaupun berbeza haluan.

“Joniston kawan saya dan kita tidak ada masalah. Saya dengan dia memang serasi dan sentiasa bekerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program Perjumpaan Perdana bersama calon UPKO N. 15 Kiulu, di Pulou Kelapa, Kampung Malangang Lama, di sini, pada hari Selasa.

Menurut Madius yang juga merupakan Ahli Parlimen P170 Tuaran itu, setiap tahun beliau akan memperuntukkan RM1juta daripada bajet parlimennya untuk diberikan kepada penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai bagi membantu pembangunan yang menyeluruh dapat dilaksanakan di kawasan Kiulu.

Madius memberikan respon tersebut terhadap kenyataan calon Parti Bersatu Sabah (PBS) itu berkenaan keterbukaan dan harapannya untuk kembali memimpin bersama selepas Madius membentuk kerajaan negeri Sabah bersama-sama Warisan Plus pada tahun 2018.

“Kita (UPKO) telah berhijrah dengan pendekatan yang baharu iaitu kita memilih kepimpinannya Sabah bukan lagi macam dahulu dengan Barisan Nasional (BN),”katanya.

Madius tidak menafikan bahawa PBS memperjuangkan hak rakyat di Sabah, namun menurut beliau dari segi struktur politik PBS tetap menyandar ke arah BN.

“PBS bergabung bersama-sama parti politik di Semenanjung yang berasaskan kaum dan agama, bukan parti untuk semua. Oleh sebab itu, payahlah kali ini, terpaksalah kita bertanding untuk prinsip perjuangan masing-masing.

“Saya dengan prinsip mahu memperjuangkan hak rakyat Sabah dengan pucuk pimpinan yang diterajui oleh parti tempatan dan dia (Joniston) dengan parti yang di dominasi dari Semenanjung,”katanya.

Dalam pada itu, Madius juga menyatakan bahawa Joniston dan beliau mempunyai pandangan yang sama tentang Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang dianggap boleh mengganggu gugat keharmonian dan kemakmuran di Sabah.

“Cuma dia bersama-sama PAS dalam gabungan Perikatan Nasional (PN). Jika berbeza pandangan dengan PAS, baik ikut kita sahaja,” katanya.

Pada majlis itu Madius turut menerima 85 borang kemasukan ahli UPKO dari Kampung Sinorut, Malangang Lama dan Kampung Ponohuan, Kiulu.

Tamat